Pertamanya, kami telah menerima banyak persoalan dan pertanyaan
berkaitan isu ini selepas kemenangan Donald Trump daripada Parti
Republikan dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016 yang baru
berlangsung.
Masing-masing memberi pandangan dan akhbar utama
dunia, antarabangsa dan tempatan banyak mengulas isu ini. Kebanyakannya
berbelah bahagi.
Ada yang menyokong dan ada yang menentang
dengan pelbagai nada samada suka ataupun sebaliknya Lambakan berita dari
Facebook, Twitter, juga media sosial yang lain menunjukkan dua pendapat
seperti dua kem samada menyokong atau tidak.
Pada saat yang
sama, saya dapati ramai pemimpin dari pelbagai negara memberi ucapan
tahniah sekalipun daripada blok negara Islam seperti Turki, Indonesia,
Arab Saudi termasuk Malaysia. Kami teringatkan satu hadith Nabi SAW:
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، قَالَ: لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ
سَمِعْتُهَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَيَّامَ الجَمَلِ، بَعْدَ مَا كِدْتُ أَنْ أَلْحَقَ بِأَصْحَابِ الجَمَلِ
فَأُقَاتِلَ مَعَهُمْ، قَالَ: لَمَّا بَلَغَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ أَهْلَ فَارِسَ، قَدْ مَلَّكُوا عَلَيْهِمْ
بِنْتَ كِسْرَى، قَالَ: «لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ
امْرَأَةً»
Daripada Abi Bakrah, beliau berkata: “Sesungguhnya
Allah SWT memberi manfaat kepadaku dengan kata-kata yang aku dengar
daripada Rasulullah SAW ketika Perang Jamal, selepas aku hampir
membenarkan mereka [ashab al-Jamal] dan berperang bersama mereka. Ketika
sampai khabar kepada Rasulullah SAW bahawa bangsa Parsi mengangkat
puteri Kisra sebagai pemimpin. Baginda bersabda: ‘Tidak akan beruntung
satu kaum yang menyerahkan urusan [pemerintahan] mereka kepada seorang
wanita.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 4425)
Kami tidak mahu
mengulas dengan lebih lanjut berkenaan kepemimpinan wanita kerana ia
merupakan perbahasan yang sangat luas dalam perbendaharaan politik
Islam. Apa yang ingin dibawakan adalah beberapa sisi lain hadis ini yang
wajar dititikberatkan.
Hadis ini jelas membuktikan bahawa
Rasulullah SAW sentiasa cakna dan prihatin akan perkembangan negara
jiran kerana empayar Parsi adalah salah satu empayar yang terkuat di
dunia pada ketika itu. Inilah bukti satu sisi universalime Islam.
Rasulullah SAW sendiri memberikan pandangan Baginda terhadap pelantikan puteri Raja Parsi tersebut
Maka, kita tidak hairan apabila pemilihan Donald Trump sebagai Presiden
Amerika Syarikat mendapat begitu banyak ulasan daripada pelbagai pihak.
Ini adalah satu tanda kecaknaan terhadap apa yang berlaku di dunia.
Mungkin terlalu awal untuk menetapkan apa-apa jawapan tuntas.
Namun, kita masih menantikan dasar-dasar luar Amerika akan datang di
bawah beliau dengan Israel, Blok European Union (EU), Rusia, China, Blok
Negara Arab, Blok Negara Islam, serta blok ASEAN.
Merenung Sejarah Kita
Tunjukkanlah akhlak dan Syakhsiyyah Islamiyyah yang tinggi serta
jadikan ia sebagai perhiasan bagi diri. Bacalah sejarah kerana ia
membuktikan kepada kita bahawa akhlak adalah senjata yang boleh mengubah
persepsi dan peribadi seseorang sekalipun dia adalah seorang yang amat
zalim.
Kita pasti masih ingat bagaimana Baghdad jatuh ke tangan
kaum Tartar yang terkenal dengan ganas, dipimpin oleh Genghis Khan dan
diteruskan oleh Hulagu Khan yang telah menakluk China dan India.
Kerajaan Mamalik di Mesir yang pada ketika itu dipimpin oleh Sultan
Zahir Baibars berketurunan Turki memimpin bala tentera Islam yang setia.
Sultan Zahir dengan penasihat seperti Imam al-Nawawi dan Sultan
al-Ulama’ Izzuddin Abdus Salam menanamkan semangat Islam dan
mengislahkan kerajaan yang korup serta suka bermewah-mewahan menjadi
sebuah kerajaan itu diubah untuk berhadapan dengan Tentera Tartar.
Dalam peristiwa Ain Jalut pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3
September 1260, tentera Sultan Zahir dan Qutuz di Mesir telah berjaya
mengalahkan Tentera Tartar.
Secara kebiasaannya menurut Ibn
Khaldun, bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan penjajah yang
berkuasa dan kuat. Tetapi, ketika bangsa Tartar memerintah dengan
undang-undang yang mencampuradukkan Islam, Yahudi, Kristian dan logik
akal, para ulama’ dan rakyat bangkit menentang undang-undang sebegini.
Selepas bangsa Tartar dikalahkan, akhirnya mereka pula yang memeluk
Islam. Inilah satu keajaiban yang disebutkan oleh Maulana Abu al-Hasan
Ali al-Hasani al-Nadwi; hanya dalam sejarah Islam berlakunya keadaan
penjajah memeluk agama rakyat yang dijajah. Kerajaan inilah juga yang
kemudiannya berjaya membina tamadun tersendiri ketika menjadi Kerajaan
Mogul di India.
Menjadi satu keutamaan bagi umat Islam untuk
meninggikakan keluhuran akhlak dan budi sehingga ia mampu menawan
segenap jiwa yang menyaksikannya. Ahmad Shauqi, seorang penyair terkenal
pernah berkata
إنمـا الأمـم الأخلاق مـا بقيـت، فإن هم ذهبت أخلاقـهم ذهبــواً
Maksudnya: “Sebuah peradaban itu akan tetap terjaga kewujudannya selama
akhlaknya masih ada. Apabila akhlaknya telah lenyap maka lenyaplah
peradaban itu.”
Sesebuah negara dan bangsa tatkala akhlak anak bangsanya punah dan hancur, sudah pasti membawa kemunduran sesebuah negara.
Marilah kita mentadabbur ayat yang sering kita baca, dengan mata hati yang dimakrifatkan dengan ilmu. Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ
الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ
دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا
مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا
تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka
(musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan
dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan
dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang
lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah
mengetahuinya.
Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
(Surah al-Anfal: 60)
Ayat di atas adalah satu bentuk iktibar kepada kita untuk memahami bahawa:
Persediaan untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan ujian. Bukannya
hanya sebagai pemerhati atau penonton, lalu membuat rumusan yang tidak
menjejak dalam realiti sebenar.
Persediaan dengan “segala jenis
kekuatan” (مَا اسْتَطَعْتُمْ) adalah puncak tertinggi bagi satu-satu
persiapan dengan sepenuh kemampuan, bukannya ala kadar. Antara yang
terpenting, sudah tentu ilmu, akhlak, ibadah, kerukunan rumahtangga,
pegangan hidup.
Syeikh Jamaluddin Al Afghani pernah berkata
kepada rakyat India yang pada ketika itu dijajah oleh Inggeris: "Jika
sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat,
nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."
Tetapi
malangnya, umat Islam kini umpama buih-buih (ghuthā’) yang lemah, tiada
kudrat dan prinsip, bahkan goyah serta hanya mengikut arus angin sahaja.
Tinggal menjadi buih-buih kecil yang tidak mampu memberi kesan apa-apa.
Pun begitu, usah dilupakan buih-buih juga mampu menyatu
membentuk gelombang ombak yang menghempas kuat pantai. Molekul-molekul
air yang kecil, memejal menjadi bongkah ais yang besar (iceberg) jugalah
yang menenggelamkan sebuah kapal Titanic yang gah dan hebat pada 1912.
Nasihatku
Wahai saudaraku!
Sudah sampai masanya umat Islam bersedia dengan ‘road map’ yang jelas,
bukan hanya untuk 20 – 50 tahun ke hadapan tetapi dengan visi yang lebih
luas, ufuk yang jauh mencapah hingga ke destinasi kita ke alam akhirat
sana.
Sebelum terjadi peperangan Qadisiyah antara tentera Muslim
pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas RA dengan tentera Parsi pimpinan Rustam,
Sa’ad terlebih dulu mengirim utusan kepada Rustam beberapa kali. Di
antara utusan tersebut adalah Rib’i bin ‘Amir. Rib’i segera masuk
menemui Rustam dalam keadaan mereka menghiasi tempat pertemuan itu
dengan bantal-bantal yang dijahit dengan benang emas, serta permadani
yang disulam daripada sutera.
Mereka mempertontonkan kepada Rib’i
bin Amir berbagai macam perhiasan berupa permata-permata yang mahal,
dan perhiasan lain sementara Rustam memakai mahkota dan sedang duduk di
atas singgahsana yang dibuat dari emas.
Rib’i bin Amir pula
masuk dengan hanya mengenakan baju yang sangat sederhana, tersisip pada
pinggang beliau sebilah pidang, perisai, dan bersamanya seekor kuda yang
pendek. Rib’i bin Amir masih tetap di atas kudanya hingga mencecah
hujung permadani. Kemudian beliau turun dan menambat kudanya di
sebahagian bantal-bantal yang terhampar. Beliau kemudiannya masuk dengan
senjata, baju besi, dan topi besi.
Pengawal Rustam berkata,
“Letakkan senjatamu!” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah berniat untuk
bertemu kalian tetapi kalianlah yang mengundangku datang ke sini. Jika
kalian memerlukanku maka biarkan aku masuk dalam keadaan seperti ini.
Jika tidak kalian izinkan, maka aku akan segera pulang.”
Rustam
berkata, “Biarkan dia masuk.” Maka Rib’i bin Amir datang sambil
bertongkat dengan lembingnya dalam keadaan posisi ujung tombak ke bawah
sehingga bantal-bantal yang dilewatinya penuh dengan lubang-lubang bekas
lembingnya. Mereka bertanya,”Apa yang membuat kalian datang ke sini?”
Rib’i bin Amir menjawab,
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضيق
الدنيا إلى سعتها، ومن جور الاديان إلى عدل الاسلام، فأرسلنا بدينه إلى
خلقه لندعوهم إليه، فمن قبل ذلك قبلنا منه ورجعنا عنه، ومن أبى قاتلناه
أبدا حتى نفضي إلى موعود الله.
“Allah telah mengutus kami untuk
mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap
sesama hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia
kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Al-Islam.
Maka Dia mengutus kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka
kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan
menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan,
kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh
apa yang dijanjikan Allah”
Mereka bertanya,”Apa yang dijanjikan
Allah (kepada kalian)?” Beliau menjawab, “Syurga bagi sesiapa sahaja
yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi
yang hidup.”
Rustam pun berkata, “Sungguh, aku telah mendengar
perkataan-perkataan kalian. Tetapi mahukah kalian memberikan penangguhan
perkara ini sehingga kami mempertimbangkannya dan kalian pun
mempertimbangkannya?” Beliau menjawab, “Ya, berapa lama waktu yang
kalian sukai? 1 hari atau 2 hari?” Rustam menjawab,”Tidak, tetapi hingga
kami menulis surat kepada para pembesar kami dan para pemimpin kaum
kami.”
Maka beliau pun menjawab,”Rasul kami tidak pernah
mengajarkan kepada kami untuk menangguhkan peperangan apabila bertemu
musuh lebih dari 3 hari. Maka pertimbangkanlah perkaramu dan mereka, dan
pilihlah 1 dari 3 pilihan apabila masa penangguhan telah berakhir.”
Rustam bertanya,”Adakah kamu pemimpin mereka?” Beliau menjawab,”Tidak,
tetapi kaum Muslimin ibarat jasad yang satu. Yang paling rendah daripada
mereka, dapat memberikan jaminan keamanan terhadap yang paling tinggi.”
Maka akhirnya Rustam mengumpulkan para pembesar kaumnya dan berkata,
“Pernahkah kalian melihat sesuatu yang lebih mulia dan lebih benar dari
perkataan lelaki ini?”
Mereka menjawab, “Kami minta perlindungan
Allah daripada terpengaruh kepada sesuatu daripada ajakan ini dan dari
menyeru agamamu kepada (agama) anjing ini. Tidakkah engkau melihat
kepada pakaiannya?”
Rustam menjawab, “Celakalah kalian! Janganlah
kalian melihat kepada pakaian. Akan tetapi lihatlah kepada pendapat,
ucapan, dan jalan hidupnya! Sesungguhnya orang Arab menganggap ringan
masalah pakaian dan makanan. Tetapi mereka menjaga harga diri mereka.”
اللهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ،
وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ،
وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ،
إِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Ya Allah berilah kami petunjuk sebagaimana orang yang telah Engkau beri
petunjuk, berilah aku perlindungan (dari penyakit dan apa yang tidak
disukai) sebagaimana orang yang pernah Engkau lindungi, sayangilah aku
sebagaimana orang yang telah Engkau sayangi.
Berikanlah
keberkatan terhadap apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku,
jauhkanlah aku dari keburukan apa yang Engkau telah takdirkan,
sesungguhnya Engkau yang menjatuhkan hukum, dan tidak ada orang yang
memberikan hukuman kepada-Mu.
Sesungguhnya orang yang Engkau
bela tidak akan terhina, dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.
Mahasuci Engkau, wahai Rabb kami Yang Maha Tinggi.
Semoga
penulisan yang ringkas ini dapat membuka mata kita dan memberikan
semangat baru untuk kita terus memandang ke hadapan bagi meneruskan misi
dakwah dan akhlak Nabi SAW dalam membina satu ummah yang gemilang. Jika
Donald Trump membawakan slogan “Make America Great Again”, apa salahnya
jika kami menyeru kepada slogan
#MakeMuslimGreatAgain.
Akhukum fillah,