Pages

Wednesday, May 18, 2016

MASJID JAMEK SRI PETALING



Masjid Jamek Sri Petaling ini merupakan markaz ataupun pusat dakwah utama bagi Jemaah Tabligh seluruh Malaysia. Masjid ini dibina diatas bukit dan segala belanja adalah dari kutipan dari umat Islam dan persendirian, tiada bantuan dari pihak kerajaan ataupun mana-mana syarikat korporat. Ia juga dibina seratus peratus oleh orang Islam.
Masjid ini tersergam indah diatas sebuah bukit di Bukit Jalil tidak berapa jauh dari Stesyen LRT Bukit Jalil ataupun Sri Petaling. Kawasannya begitu luas kerana ia juga mempunyai sebuah Madrasah Tahfiz dan Alim bernama Madrasah Miftahul Ulum dan disebelahnya sebuah kantin yang juga agak besar dengan ruang makannya. Ruang solatnya juga luas dan satu saf mampu memuatkan beberapa ratus Jemaah.
Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki dimasjid ini mesti merasakan satu kelainan berbanding masjid-masjid lain disekitar Lembah Klang ataupun diseluruh Malaysia. Suatu perasaan kerohanian dijiwa membuat hati merasa sayu dan tersentuh. Mungkin kerana masjid ini hidup dengan amalan seperti di Masjid Nabawi ketika zaman Rasulullah SAW dahulu dengan amalan Dakwah, Taalim, Ibadat dan Khidmat.
Jika diperhatikan dengan teliti pasti ramai yang perasan bahawa pintu masuk kedalam masjid ini tidak mempunyai selak di mana-mana penjuru samada dipintu utama ataupun disebelah kiri dan kanan masjid. Lebih unik lagi masjid ini tidak berkunci dan tidak boleh dikunci. Ia sentiasa dibuka 24 jam sehari dan sesiapa sahaja boleh keluar masuk kedalamnya untuk beribadat tidak kira masa.
Memang ada Imam dan Bilal yang tetap didalam pentadbiran Masjid Jamek Sri Petaling. Mereka bertanggungjawab diatas urusan utama termasuk Azan, Solat Berjemaah dan juga aktiviti dan program lain seperti kelas agama dan sebagainya.
Namun demikian tugas-tugasan lain seperti keselamatan, pembersihan, tukang masak adalah secara sukarela dan bertukar setiap hari ataupun masa tertentu. Ini diberi kepada setiap Jemaah yang baru pulang dari keluar berdakwah samada didalam atau luar negara. Ada juga yang memberi masa selama 10 hari atau beberapa hari untuk menjadi sukarela berkhidmat kerana Allah.
Masjid ini sentiasa ada programnya setiap hari 24 jam dari Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya sentiasa ada Jemaah yang sibuk dengan amalan samada infiradi (sendiri) ataupun secara Ijtima’I (beramai). Setiap waktu Solat akan dihadiri oleh ratusan makmum dibelakang seorang imam.
Suatu perkara yang unik dan tidak akan dijumpai dimana-mana masjid seluruh dunia adalah tiadanya tabung menderma didalam masjid ini. Bagi mereka yang pertama kali solat dimasjid ini dan mahu menderma pasti akan kecewa dan tertanya-tanya dimanakah tabung untuk menderma.
Segala perbelanjaan untuk pentadbiran masjid ini adalah dibuat secara persendirian oleh mana-mana ahli Jemaah dan individu yang telah mendapat persetujuan dari Ahli Syura, jadi kutipan wang tidak boleh diterima dari sumber yang tidak diketahui puncanya.
Masjid ini dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi yang berjumlah ratusan untuk kegunaan ahli Jemaah dan keselesaan. Jadi Jemaah tidaklah menunggu begitu lama untuk urusan dibilik air.
Masjid ini juga pernah mengadakan Ijtima untuk ahli Jemaah Tabligh seluruh Lembah Kelang dan dihadiri hampir 30 ribu jemaah.
Setiap hari Sabtu malam Ahad ada program mingguan iaitu Bayan atau ceramah selepas Solat Maghrib sehingga Isya. Masjid ini akan dipenuhi oleh ribuan ahli Jemaah dari seluruh Lembah Kelang. Ceramahnya tidak berbau politik ataupun untuk kutipan derma tetapi lebih kepada usaha dakwah dan usaha atas iman dan akhirat. Diakhir bayan akan dibuat Tasykil ataupun mengambil nama untuk mereka yang bersedia berkorban harta dan masa keluar dijalan Allah.
Bagi sesiapa yang berkunjung di Bukit Jalil dan kawasan sekitarnya silalah datang kemasjid ini dan duduk didalam program yang disediakan untuk santapan rohani. Semoga masjid yang dibina atas dasar taqwa ini akan terus hidup dengan amalan seperti diketika zaman Rasulullah SAW dahulu.

1 comment: