Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha (Sad[38:16-20]) di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa,
Kuala Lumpur pada 12 Julai 2016. Isu utamanya adalah bagaimana al-Quran
membersihkan nama nabi Dawud AS dari tuduhan merampas isteri orang.
“Aku memang jahat atau banyak dosa, tapi jangan berani tuduh aku cuba merampas isteri orang!”
Itu pastinya jawapan yang keluar dari mulut seorang lelaki yang banyak
membuat onar dalam masyarakat. Tuduhan merampas isteri orang ternyata
sangat besar dan keji. Manusia yang sanggup melakukan perkara itu tidak
layak lagi digelar manusia mulia. Oleh itu, sangat tidak logik jika
tuduhan atau cerita sebegini cuba disandarkan kepada seorang nabi mulia
yang banyak dipuji Allah dalam al-Quran. Bukan setakat itu, Rasulullah
SAW juga mengajar kita agar sentiasa mencontohi nabi Dawud AS dalam
banyak sisi. Sabda Baginda:
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ
صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ
الصَّلَاةِ إِلَى اللَّهِ صَلَاةُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ
وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ
Ertinya: Ibadah puasa yang
paling disukai Allah adalah puasa nabi Dawud, baginda berpuasa seharu
dan berbuka sehari. Dan solat yang paling disukai Allah juga adalah
solat nabi Dawud, baginda tidur ½ malam kemudian bangun bersolat pada
1/3 malam dan tidur kembali pada 1/6 yang berbaki (Sahih al-Bukhari
& Muslim).
Bukan setakat kualiti ibadat, kehebatan doa nabi Dawud AS turut dipuji oleh Rasulullah SAW:
كَانَ مِنْ دُعَاءِ دَاوُدَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ
وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنْ
الْمَاءِ الْبَارِدِ قَالَ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ دَاوُدَ يُحَدِّثُ عَنْهُ قَالَ كَانَ
أَعْبَدَ الْبَشَرِ
Ertinya: Antara doa nabi Dawud adalah: “Ya
Allah! Aku mohon cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu dan amalan yang
boleh menyampaikan aku kepada cintaMu. Ya Allah! Jadikan cintaMu lebih
aku cintai dari diriku, keluargaku dan dari "AIR YANG SANGAT SEJUK." Abu
Darda’ juga menyebut: “Setiap kali menyebut perihal nabi Dawud,
Rasulullah SAW akan mengatakan bahawa baginda (nabi Dawud) adalah
manusia yang paling kuat beribadat (pada zamannya) (Sunan al-Tirmidhi).
Mengapa nota Tafsir ini begitu tegas mempertahankan nabi Dawud AS? Apa
kisahnya? Isu ini meletus ketika kami berbincang tentang sebuah riwayat
palsu yang cuba disandarkan kepada Tafsiran surah Sad ayat 21 -25.
Riwayat tersebut menceritakan pada suatu hari nabi Dawud AS terpandang
seorang wanita sedang mandi. Wanita itu adalah isteri Uria iaitu seorang
panglima perang dalam tentera baginda. Bagi merampas wanita itu,
baginda menghantar Uria ke dalam beberapa buah perang dengan harapan
Uria akan mati. Setelah Uria hilang dan dianggap mati, nabi Dawud
berkahwin dengan isterinya bagi menggenapkan angka isteri baginda kepada
100 orang. Akibat perbuatan ini, Allah menghantar 2 malaikat menyamar
dalam rupa manusia dan bertanyakan perihal perebutan kambing yang
menjadi sindiran kepada baginda tentang jenayah merampas isteri orang.
Setelah sedar dari kesalahannya, nabi Dawud AS lantas sujud bertaubat
kepada Allah. Kisah ini disebut dalam sesetengah kitab Tafsir al-Quran.
Akal yang sihat pasti dapat mencium betapa cerita jahat ini adalah
palsu dan wajib dikuburkan tanpa nesan. Ketika mengulas kisah karut ini,
Imam al-Razi memberikan hujah akli yang sangat tajam, iaitu:
1) Jika kerakusan ini disandarkan kepada seorang manusia yang paling
jahat sekalipun, dia akan bermatian menafikannya demi mempertahankan
maruahnya. Oleh itu sangat mustahil ia disandarkan kepada seorang nabi.
2) Jika kisah ini diterima sekalipun, kesudahannya akan berakhir kepada
2 perkara yang sangat jahat iaitu (1) cubaan membunuh manusia yang
tidak berdosa dan, (2) cubaan merampas isteri orang. (Tafsir al-Razi).
Inilah bahana dan bahaya sesetengah riwayat Isra’iliyyat. Yang cantik
jadi huduh, yang mulia dipamerkan hina, yang soleh ditonjolkan jahat.
Bagi menghalalkan kisah karut sebegini, sesetengah riwayat Isra’iliyyat
direncahkan dengan sedikit pengajaran serta keinsafan pada hujungnya.
Ayat popular yang sering dijadikan “logo halal” untuk penyebaran kisah
sebegini adalah “TAK MENGAPA! INI UNTUK PENGAJARAN.”
Sebenarnya,
ayat dari pangkal kisah baginda dalam surah ini sudah mempunyai hujah
kukuh dari Allah untuk membersihkan nama baginda AS. Ayuh mari kita
terokai 9 kualiti istimewa baginda yang sudah dinyatakan Allah dalam
ayat ini:
اصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَاذْكُرْ عَبْدَنَا
دَاوُودَ ذَا الْأَيْدِ إِنَّهُ أَوَّابٌ (17) إِنَّا سَخَّرْنَا
الْجِبَالَ مَعَهُ يُسَبِّحْنَ بِالْعَشِيِّ وَالْإِشْرَاقِ (18)
وَالطَّيْرَ مَحْشُورَةً كُلٌّ لَهُ أَوَّابٌ (19) وَشَدَدْنَا مُلْكَهُ
وَآَتَيْنَاهُ الْحِكْمَةَ وَفَصْلَ الْخِطَابِ (20)
Ertinya:
Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan,
dan ingatlah akan (1) hamba Kami Nabi Daud (2- yang juga penyabar), (3)
yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya); sesungguhnya dia (4)
sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan mematuhi perintah Kami).
Sesungguhnya Kami telah mudahkan (5) gunung-ganang turut bertasbih
memuji Kami bersamanya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.
Dan (Kami mudahkan juga) (6) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih
memuji Kami bersamanya); setiap satunya mengulangi tasbih masing-masing
menurutnya. Dan Kami (7) kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan
kepadanya (8) hikmah kebijaksanaan dan (9) kepetahan berbicara serta
kemampuan memberi keputusan yang adil lagi tepat (dalam menjalankan
hukum dan menjatuhkan hukuman) (Sad [38:17-20]).
9 kualiti nabi Dawud AS adalah:
1) Sangat penyabar dalam melaksanakan segala arahan serta meninggalkan
segala larangan Allah. Pangkal ayat di atas mengarahkan Rasulullah agar
bersabar dalam dakwah seperti nabi Dawud. Mana mungkin Rasulullah SAW
sebagai Rasul terbaik diarahkan Allah mencontohi sifat sabar Dawud jika
nabi Dawud sendiri tidak mampu sabar menahan diri dari merampas isteri
orang?
2) Digelar sebagai “HAMBA KAMI.” Perlu difahami, apabila
Allah memanggil seseorang dalam al-Quran sebagai “HAMBA” ia menunjukkan
ketinggian darjat manusia tersebut yang sanggup mengabdikan diri
sepenuhnya kepada Allah. Panggilan ini dimanjakan Allah kepada ramai
manusia pilihan seperti Rasulullah SAW (al-Isra’[17:1]), Khidir
(al-Kahfi [18:65]), nabi Isa AS (Maryam[19:30]), dan para malaikat
(al-Zukhruf [43:19]). Mana mungkin manusia yang mendapat gelaran paling
mulia sebegini boleh terfikir melakukan sesuatu jenayah yang bakal
menimbulkan kemurkaan Allah.
3) Mempunyai kekuatan melaksanakan
segala perintah agama. Hanya manusia yang benar-benar soleh sanggup
melaksanakan urusan dan arahan agama.
4) Sentiasa kembali atau
merujuk kepada arahan Allah dalam segala tindakan. Pastinya baginda
sangat patuh kepada Allah yang melarang perbuatan zalim seperti cubaan
merampas isteri orang.
5) & 6) Dikurniakan mukjizat
kebersamaan gunung serta burung yang turut bertasbih bersama baginda.
Ini adalah suatu mukjizat yang sangat hebat dan bukan semua manusia
mendapat kemuliaan mukjizat sebegini, lalu sangat mustahil kelebihan ini
diberikan kepada seorang manusia jahat perampas isteri orang.
7)
Pengukuhan kerajaan baginda sebagai alat bantu menegakkan syariat
Allah. Mana mungkin seorang nabi yang dianugerahi kuasa menegakkan
syariat Allah menjadi orang pertama merosakkan syariat tersebut.
8) Kurniaan hikmah. Perkataan hikmah mempunyai banyak maksud antaranya
pangkat kenabian, pengetahuan mendalam tentang rahsia agama dan
kebijaksaan dalam sebarang tindakan. Hikmah tertinggi yang Allah
anugerahkan kepada seorang manusia adalah pangkat kenabian. Pangkat ini
pastinya dianugerahi kepada manusia yang paling soleh dan bukannya
perampas isteri orang.
9) Kepetahan bicara serta kemampuan
memberi keputusan yang adil lagi tepat dalam sebarang kes yang dirujuk
kepada baginda. Sebagai hakim, baginda sangat adil dan jauh dari sifat
zalim, lalu mana mungkin insan hebat lagi adil seperti baginda boleh
berlaku zalim merancang plot membunuh seorang manusia tak bersalah demi
merampas isterinya.
Pesan saya, jagalah lidah dan tanggapan kita
terhadap para nabi dan Rasul. Mereka adalah manusia pilihan Allah.
Usahlah sedap bercerita sehingga merosakkan nama serta kredibiliti para
nabi. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.
No comments:
Post a Comment