Pages

Saturday, July 9, 2016

Akhlak Anbiya' berbeza dengan Aghbiya' ( Orang-Orang Bodoh)

Akhlak Anbiya' berbeza dengan Aghbiya' ( Orang-Orang Bodoh)

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا
Maksudnya : [[ Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"]]

Al-Imam Fakhruddin Arrazi rahimahullah telah menyebut di dalam karya agungnya Mafatihul Ghaib :
Ketahuilah bahawasanya di dalam ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa Sayyiduna Musa alaihi al-salam meraikan dan melaksanakan pelbagai adab dan kelembutan ketika berkeinginan untuk belajar daripada Sayyiduna Khadir alaihi al-salam .

Antaranya ialah :
1) Baginda menjadikan dirinya sebagai pengikut kepada Nabi Allah Khadir alaihi al-salam bilamana menyebutkan هَلْ أَتَّبِعُكَ.

2) Baginda memohon izin bagi kebenaran ikutan tersebut seakan beliau mengatakan : Adakah tuan benarkan agar saya menjadikan diri saya sebagai pengikut kepada tuan. Ini adalah tawadhuk yang tersangat agung.

3) Perkataan beliau عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَن adalah merupakan pengakuan ke atas dirinya dengan kejahilan dan pengakuan ke atas gurunya dengan ilmu.

4) Perkataan مِمَّا عُلِّمْت juga menunjukkan tawadhuk yang agung daripada Sayyiduna Musa alaihi al-salam. Kalimah من di dalam ayat ini bermaksud sebahagian. Maka seakan Sayyiduna Musa hanya menuntut kepada gurunya untuk diajarkan kepadanya sebahagian daripada ilmu yang diajarkan oleh Allah taala kepada Sayyiduna Khadir , bukan meminta diajarkan seluruhnya. Seolah-olah beliau berkata : " Saya tidak meminta kepada tuan menjadikan saya sama di dalam ilmu seperti tuan, bahkan saya memohon agar tuan berikan sedikit ilmu Allah yang dikurniakan kepada tuan" . Ini seperti permintaan seorang faqir kepada si kaya agar memberikan sedikit harta yang dimiliki si kaya tersebut.

5) Perkataan مِمَّا عُلِّمْت juga merupakan pengiktirafan daripada beliau bahawa ilmu Sayyiduna Khadir adalah anugerah daripada Allah taala kepada beliau.

6) Perkataan رُشْدًا adalah merupakan permintaan Sayyiduna Musa kepada Sayyiduna Khadir agar membimbing dan memberi petunjuk. Ini kerana tanpa irsyad atau petunjuk maka akan berlaku kesesatan dan kerosakan.

7) Perkataan تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْت adalah memberi maksud permintaan daripada Sayyiduna Musa agar Sayyiduna Khadir bermuamalah dengannya sepertimana Allah taala bermuamalah dengan Baginda Khadir.

8) Sesungguhnya mutabaah atau ikutan adalah bermaksud melakukan sesuatu seumpama perbuatan orang lain dengan sebab perbuatan tersebut merupakan sesuatu yang dilakukan oleh orang yang diikuti. Contoh mudahnya ialah : Kita melakukan solat lima waktu adalah kerana mengikuti Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam. Kita melakukannya adalah kerana Baginda sallallahu alaihi wasallam turut melakukannya. Maka ini disebut mutabaah atau ikutan.
Tetapi jika seseorang mengatakan bahawa kalian menyebut kalimah لا إله إلا الله maka kalian sebenarnya mengikuti Yahudi. Mereka juga menyebutkan kalimah tersebut. Kita katakan tidak kerana kami menyebut kalimah tayyibah itu bukan kerana mengikuti Yahudi tetapi kerana suruhan daripada Allah menyebut kalimah tersebut. Ini berbeza dengan contoh di atas.
Jika jelas tentang ini, maka perkataan Sayyiduna Musa هَلْ أَتَّبِعُك adalah menunjukkan bahawa beliau akan melakukan sepertimana petunjuk gurunya dengan hanya sebab gurunya turut melakukan perkara tersebut.
Ini menjadi dalil bahawa pelajar dan penuntut ilmu pada permulaan belajar menyerahkan urusannya kepada gurunya dan meninggalkan i'tiradh atau berbalah dengan gurunya.

9) Perkataan أَتَّبِعُكَ pula menunjukkan bahawa beliau akan mengikuti gurunya dalam semua keadaan tanpa dikhususkan pada sesuatu perkara.

10) Diketahui di dalam banyak riwayat bahawa Sayyiduna Khadir adalah Nabi Bani Israel , manakala Sayyiduna Musa pula adalah Sahib Taurah yang agung, Rasul yang berbicara dengan Allah taala tanpa perantaraan serta dikurniakan mukjizat yang agung.
Walaupun kedudukannya tinggi dan agung, Baginda Musa Alaihi al-salam tetap melaksanakan adab dan tawadhuk yang tinggi dengan gurunya. Ini yang layak baginya kerana seseorang yang menguasai ilmu yang banyak maka pengetahuannya tentang kebaikan dan kemuliaannya lebih banyak. Jika demikian, maka menuntutnya juga sangat-sangat perlu dan mengagungkan pemilik dan penanggung ilmu ( ulama) juga perlukan kesempurnaan dan kesungguhan.

11) Perkataan هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَن memberikan pengajaran kepada kita bahawa Baginda Musa alaihi al-salam meminta izin untuk menjadi pengikut , kemudian Baginda meminta untuk diajarkan ilmu kepadanya. Maka ini memberi maksud bahawa beliau meminta untuk memberi khidmat terlebih dahulu maka setelahnya barulah meminta diajarkan ilmu.

12) Perkataan هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَن juga memberi maksud bahawa beliau hanya meminta kepada Sayyiduna Khadir agar diajarkan ilmu, bukan meminta harta dan pangkat . Seakan-akan beliau berkata : " Saya tidak meminta kepada tuan harta dan pangkat dengan ikutan ini, tiada tujuan lain melainkan hanya ilmu yang saya tuntut"
Saya berkata : Lihatlah betapa agungnya akhlak seorang Nabi yang agung di dalam menuntut ilmu walau daripada seseorang yang lebih rendah kedudukan daripadanya.
Lihat pula akhlaknya kita dengan para guru dan ulama. Ini bukti bahawa kita masih taqsir dengan ilmu. Maka natijahnya akan lompang dalam adab.

Semakin tinggi ilmu, makin seseorang itu mengetahui kemuliaan ilmu. Semakin tahu dia tentang kemuliaan ilmu maka semakin bersungguh dia menuntutnya. Semakin bersungguh dia menuntut ilmu semakin berakhlak dan sempurna adabnya dengan ahli ilmu.

Bahasa mudahnya : Kenapa kurang adab dengan ulama? Banyak berbantah dengan ulama?
JAWAPANNYA : Kerana kurang ilmu dan amalnya. Kurang mulazamahnya maka tiada dia mengenal akan gurunya. Disebabkan tidak mengenal gurunya maka cepat dia menempelak ahli ilmu dan gurunya.
Maka ubatnya ialah BELAJAR DAN PERLU HADIRKAN SIFAT TAWADHUK. Sifat ini mendidik jiwa boleh terima ajaran.

No comments:

Post a Comment