Profesor Dr Rosna Mat Taha menunjukkan pokok Crocus sativus, atau lebih
dikenali sebagai saffron, yang berjaya berbunga di makmal kajiannya di
Universiti Malaya. ― Foto Bernama
Helaian stigma merah bunga ungu saffron, yang bernilai lebih RM30,000
bagi setiap kilogram, berjaya dihasilkan dalam makmal Universiti Malaya.
― Foto AFP
KUALA LUMPUR, 8 Jul ― Crocus sativus L. atau lebih dikenali sebagai
saffron atau za’ffaran merupakan herba termahal di dunia. Ia digunakan
sejak ribuan tahun dahulu terutama di Asia Barat sebagai rempah utama
dalam masakan.
Digelar raja segala rempah, helaian-helaian halus berwarna merah
za'ffaran, merupakan stigma kering daripada bunga saffron yang mempunyai
nilai komersial yang sangat tinggi.
Hanya boleh ditanam di kawasan negara empat musim seperti kawasan
Mediteranean, Asia Barat dan Eropah, harganya di Malaysia boleh mencecah
antara RM28,000 hingga RM32,000 bagi setiap satu kilogram.
Bagaimanapun usaha sekumpulan penyelidik Fakulti Sains, Universiti
Malaya (UM) diketuai Profesor Dr Rosna Mat Taha bersama Nordiyanah
Anuar, Noraini Mahmad, Asif Khan, Dr Sadegh Mohajer, Nor Amirah Md. Nor
telah berjaya menanam dan menghasilkan bunga saffron di Malaysia selain
memperolehi stigmanya yang digunakan dalam masakan.
Pokok saffron yang ditanam secara in vivo dalam bilik kultur itu
berbunga buat pertama kalinya dari November hingga Januari lepas.
Saffron boleh membesar mencapai ketinggian 15 hingga 30 sentimeter dan
untuk memperolehi lima hingga tujuh kilogram saffron yang kering
memerlukan keluasan tanah lebih kurang satu hektar.
Setiap bunga hanya mempunyai tiga stigma dan bagi mendapatkan 10 gram
stigma za’ffaran pula memerlukan 1000 kuntum bunga za’faran dan ini
menyebabkan harganya menjadi sangat tinggi.
Kejayaan penyelidikan saffron di Malaysia hingga berjaya menghasilkan
*bunganya buat pertama kali di kawasan beriklim tropika memberi satu
petanda positif akan potensinya di sini.
Bagaimanapun, ia masih memerlukan kajian lebih mendalam sehingga ia
boleh dikomersialkan mengikut persekitaran dan cuaca yang ada di
Malaysia, menurut Rosna yang memulakan projek penyelidikan ini pada 2014
melalui geran penyelidikan UM.
"Saffron hanya boleh hidup di negara empat musim seperti di
negara-negara Mediteranean atau Asia Barat seperti Iran, yang merupakan
pengeluar terbesar di dunia, sementara Turki, Kashmir atau negara-negara
Eropah seperti Sepanyol dan Perancis juga menghasilkan saffron tetapi
dalam kuantiti yang sedikit.*
"Apabila ia boleh berbunga di Malaysia, ini memberi satu harapan untuk
menanam saffron di Malaysia dan seterusnya tidak mustahil untuk
dikomersialkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tanaman unik yang dianggap "emas merah" dunia ini digunakan sejak turun
temurun dalam masakan dan kini semakin meluas digunakan sebagai bahan
pewarna, minyak wangi dan dalam bidang perubatan serta sebagai campuran
dengan madu untuk makanan kesihatan.
Mengandungi safranin, ia bertindak sebagai anti-kanser dan anti-oksidan
yang sangat berkesan. Antara khasiat saffron ialah merangsang
pertumbuhan sel-sel otak manusia bagi membantu menguatkan daya ingatan.
Banyak tercatat di dalam kitab-kitab perubatan Islam mengenai khasiat
dan kebaikan saffron yang turut diperakui oleh ahli perubatan barat
moden.
Di India, saffron banyak digunakan bagi membantu masalah pencernaan.
Kaya dengan vitamin B2 dan Riboflavin, kajian juga mendapati saffron
dapat mengelakkan sistem pencernaan daripada kanser. Ia juga *banyak
digunakan sebagai bahan penenang kepada mereka yang menghadapi masalah
tekanan jika.
Apa uniknya saffron?
Merupakan tumbuhan yang sensitif dan memerlukan penjagaan rapi, ia
membiak melalui umbisi (corm) pada tanah dan akan mengeluarkan bunga
pada awal musim luruh pada suhu antara 11 dan 18 darjah Celsius.
Di Iran, saffron akan mula mengeluarkan bunga setiap tahun dari
September-November. Proses itu akan berulang dan umbisi (corm) itu mampu
mengeluarkan bunga sehingga 10 tahun.
Benih baharu bagaimanapun akan diganti setiap lima tahun bagi menghasilkan stigma bunga yang berkualiti tinggi.
Menurut Rosna, kajian awal daripada kejayaan penanaman dan pembungaan
saffron melalui penanaman secara in vivo mendapati ia sesuai dan
membesar dengan baik menggunakan tanah hitam serta akan berbunga pada
suhu 15-20 darjah Celsius.
Apabila saffron diletakkan pada suhu 21-28 darjah Celsius, hanya 50
peratus sahaja yang berbunga dan pada suhu melebihi 30 Celsius, langsung
tidak ada saffron yang menghasilkan bunga. Nutrien pada tanah hitam
yang digunakan sangat sesuai untuk pertumbuhan saffron di Malaysia.
"Selepas lebih kurang 2 bulan, pokok saffron menghasilkan bunga yang
berwarna ungu dan berbau harum sama seperti yang biasa dihasilkan di
negara asalnya.*
"Dalam kajian ini, saffron telah menghasilkan bunga pada bulan November,
Disember dan Januari, sedikit berbeza dengan di Iran yang berbunga pada
musim luruh (akhir Sept-November)," katanya.
Pertumbuhan dan penghasilan bunga saffron banyak dipengaruhi oleh suhu,
jenis tanah dan juga rawatan awal (‘pre-treatment’) terhadap ‘corm’ atau
umbisinya. Struktur bunga Saffron terdiri daripada lima kelopak, tiga
stigma dan tiga stamen.
Kumpulan penyelidik itu kini menjalankan kajian untuk penambahbaikan
daripada segi penanaman dan pembungaan secara in vitro atau kaedah
kultur tisu.
Menurut Rosna, saffron membiak dengan sangat perlahan dan menghasilkan
sangat sedikit anak benih secara semulajadi. Oleh itu teknik kultur tisu
untuk mikropropagasi tumbuhan ini penting dalam menyelesaikan masalah
ini.
"Kaedah bioteknologi membolehkan tumbuhan ini dimajukan dan menjadikan ia berpotensi besar untuk ekonomi negara," katanya.
Kajian yang dilakukan itu turut diiktiraf di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa. Pada tahun lepas, kajian itu memenangi pingat perak dalam
pertandingan iCompEx 2015, di Politeknik Muadzam Shah, Jitra, Kedah.
Baru-baru ini, kajian itu juga telah memenangi pingat emas dalam
pertandingan The 2nd World Invention Innovation Contest (WiC) 2016 di
Korea Selatan. ― Bernama
http://www.themalaymailonline.com/pr....5VsPrhnR.dpuf
No comments:
Post a Comment