Pages

Monday, May 16, 2016

Sultan Sultan Terengganu Yang Hebat Dalam Sejarah

Terengganu Darul Iman merupakan sebuah negeri yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia yang mengadap Laut Cina Selatan. Negeri ini merupakan sebuah negeri pesisiran Laut China Selatan yang indah serta mempunyai pelbagai khazanah yang terdapat di dalamnya.

Selain dari penemuan Batu Bersurat Terengganu yang ditemui di Kuala Berang dan menjadi bukti utama penegakkan hukum Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke 13, sejarah Kesultanan Terengganu dan riwayat hidup para sultan-sultannya. Kesultanan Terengganu Darul Iman diasaskan sekitar tahun 1708 hingga 1722 oleh Tun Zainal Abidin bin Tun Habib Abdul Majid (bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang 1685~1699) dan baginda ialah adinda kepada Tun Abdul Jalil yang juga merupakan sultan pertama Johor dari keturunan Bendahara selepas kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699. Baginda memakai gelaran Sultan Zainal Abidin I ibni Tun Habib Abdul Majid.


1. SULTAN MANSUR RIAYAT SHAH IBNI SULTAN ZAINAL ABIDIN I (1733~1794)

Sultan Zainal Abidin ibni Tun Habib Abdul Majid (1725~1733) yang merupakan pemerintah Kesultanan Terengganu yang pertama akhirnya mangkat pada 7 Mac 1733 (20 Ramadhan 1145 Hijri) di Bukit Nangka dan kemudiannya dimakamkan di Bukit Keledang (berhampiran Kuala Terengganu). Almarhum sultan meninggalkan enam orang putera (ada riwayat mengatakan tujuh) namun kesemua anak lelaki tua baginda akhirnya bermurah hati menyerahkan takhta pemerintahan kepada putera bongsu almarhum yang bernama Engku Tuan Mansur.

Ini kerana semasa kelahiran Engku Tuan Mansur ini, seorang pembesar tua telah meramalkan bahawa baginda akan menjadi seorang raja yang besar apabila dewasa kelak. Oleh kerana kemurahan hati dan mempercayai ramalan itu, kekanda-kekanda baginda menyerahkan takhta pemerintahan kepada baginda yang masih kecil lagi itu. Sementara menunggu baginda mencapai usia kematangan, urusan pemerintahan negeri dipegang sementara oleh kekanda sulungnya, Engku Tuan Wangsa dan Bendahara Tun Hussein. Baginda hanya ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Terengganu pada 26 Februari 1741 oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah,sultan Empayar Johor-Riau-Lingga yang juga merupakan sepupu baginda.

Dalam masa pemerintahan baginda, Terengganu mula menjadi sebuah kerajaan yang masyhur dan stabil di Semenanjung Tanah Melayu. Antara kuasa Melayu yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan baginda ketika itu ialah Empayar Johor-Riau-Lingga dan hubungan ini dikukuhkan lagi dengan hubungan kekeluargaan yang rapat (perlu diingat keturunan Sultan Terengganu dan sultan Johor dinasti Bendahara adalah dari jurai keturunan yang sama).

Tatkala itu, kerajaan Johor sedang menghadapi campur tangan dari orang-orang Bugis dan sepertimana pembesar Melayu yang lain, baginda juga berazam mahu menegakkan semula kuasa dominan orang Melayu dalam petadbiran Johor. Oleh sebab kesungguhan baginda itulah, baginda menghabiskan masa selama empat belas tahun tinggal di Riau, bersama-sama dengan beberapa orang pembesar dan pahlawan Terengganu yang lainnya.

Baginda pernah menganggu Daeng Kemboja bin Daeng Parani (Yang Dipertuan Muda Riau III) sehingga menyebabkan beliau meninggalkan Riau dan menetap di Linggi. Sebelum itu beliau sempat meminta sepupunya, Raja Haji bin Daeng Chelak (Engku Kelana) untuk menjaga Riau. Sultan Mansur pula ketika itu bercadang untuk menghalau Raja Haji dan cuba menyerang Linggi dengan pertolongan Siak dan Belanda namun tindakan ini dihalang sepenuhnya oleh sepupu baginda sendiri iatu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Johor.Sejak itulah, baginda memutuskan untuk tidak lagi mencampuri urusan di Johor dan berangkat pulang semula ke Terengganu. Sepanjang masa baginda di Riau, baginda bernikah dengan Raja Bulang binti Daeng Chelak.

Tidak cukup dengan halnya di Johor, baginda cuba masuk campur dalam hal perang saudara di Kelantan ketika itu di mana baginda memberi bantuan ketenteraan kepada Long Yunus sebanyak 100 orang perahu dan 3000 orang pejuang untuk menyatukan Kelantan dan menentang seorang pembesar bernama Long Drahman. Tentera Long Yunus berjaya dalam peperangan dan beliau ditabalkan sebagai pemerintah Kelantan. Untuk menguatkan ikatan kekeluargaan dengan Kelantan, Sultan Mansur mengahwinkan anak lelakinya, Tengku Muhammad dengan Engku Tuan Nawi,puteri sulung Long Yunus pada tahun 1771.

Pada zaman pemeirntahan bagindalah, Terengganu mula menghantar bunga emas ke Siam (Dinasti Chakri) pada tahun 1782. Penghantaran bunga emas ke Siam ini bukanlah tanda menerima pertuanan Siam, namun mengikut sejarah, penghantaran bunga emas ini sebagai tanda persahabatan namun Siam menyangkakan bahawa Terengganu menerima pertuanan Siam dan menjangkakan Sultan Mansur sendiri akan pergi ke Bangkok untuk memberi penghormatan kepada Raja Rama I.

Sultan Mansur dengan beraninya menolak pelawaan Siam tersebut dan bertegas bahawa penghantaran bunga emas itu hanyalah sebagai tanda persahabatan sahaja, tidak lebih dari itu. Walau bagaimanapun baginda sentiasa berhati-hati dan bersiap siaga untuk mempertahankan negeri andaikata Siam hendak menyerang Terengganu nanti.

Baginda juga pernah cuba membuat utusan diplomatik dengan Belanda yang berpusat di Melaka ketika itu untuk tujuan berdamai dan ingin membincangkan mengenai hal ehwal orang Bugis yang berkuasa dalam pentadbiran Johor ketika itu. Namun pihak Belanda di Melaka memberi satu jawapan yang sungguh kasar dan tidak sopan kepada utusan Terengganu itu.

Ini mencetuskan kemurkaan yang amat kepada baginda Sultan Mansur ketika itu dan berazam mahu memberi penyesalan kepada orang Belanda supaya keluar dari pangkalan mereka di Melaka sungguhpun baginda ketika itu berusia 70 tahun lebih. Baginda cuba untuk mewujudkan satu perikatan kuasa besar-besar Melayu yang terdiri dari Selangor, Perak, Kedah, Johor, Rembau, Siak, Inderagiri, Siantan dan Terengganu untuk melancarkan serangan bertalu talu penuh habis-habisan ke atas pangkalan Belanda di Melaka.

Dengan kekuatan perikatan ketenteraan Melayu tersebut sebanyak 20,000 orang tentera dan 400 buah kapal memang cukup kuat untuk melancakan serangan fatal ke atas Melaka tambahan pula baginda telah menghantar surat meminta bantuan ketenteraan dari pihak British yang berpusat di Benggala,India ketika itu. Namun sayang seribu kali sayang, serangan besar besaran itu tidak menjadi realiti dan pakatan ketenteraan tersebut pecah begitu sahaja apabila Sultan Mansur mangkat pada 17 Januari 1794 (15 Jamadilakhir 1208 Hijri) dan utusan baginda yang ditugaskan membawa surat kepada pihak British itu pula hilang semasa kapalnya karam dalam perjalanan ke Benggala.


2.SULTAN BAGINDA OMAR RIAYAT SHAH IBNI SULTAN AHMAD MUADZZAM SHAH (1839~1876)

Lebih kurang 45 tahun selepas kemangkatan Sultan Mansur, pemerintahan negeri Terengganu bersilih ganti kepada 6 orang sultan. Dari Sultan Mansur digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794~1808) seterusnya digantikan oleh puteranya,Sultan Ahmad (1808~1830) kemudiannya digantikan oleh saudaranya, Sultan Abdul Rahman (1830) yang hanya memerintah setahun sahaja diikuti pula oleh putera sulung Sultan Ahmad iatu Sultan Daud (1830~1831) namun baginda hanya memerintah selama 40 hari sahaja dan kemudiannya mangkat.

Keadaan ini akhirnya mengakibatkan berlakunya perebutan takhta di antara Tengku Omar,adinda Sultan Daud dan bapa saudaranya, Tengku Mansur. Pembesar-pembesar Terengganu yang bersifat neutral dalam kes perebutan takhta ini cuba mencari jalan penyelesaian dengan melantik Tengku Mansur menjadi Yang Dipertuan Tua dan Tengku Omar sebagai Yang Dipertuan Besar Terengganu namun Tengku Mansur melalui satu tipu muslihat telah merampas takhta negeri Terengganu dan menyingkirkan Tengku Omar ke Kemaman dan akhirnya dibuang negeri ke Lingga.

Tengku Omar bukanlah semudah itu untuk disingkirkan. Baginda kemudian menganggu pentadbiran Sultan Mansur II (1831~1837) itu dengan para pengikut setia baginda. Peluang keemasan terbuka apabila Sultan Mansur II mangkat dan digantikan oleh anakandanya yang berusia 15 tahun iatu Sultan Muhammad Shah. Menurut keterangan Abdullah Munsyi, Sultan Muhammad Shah itu merupakan seorang sultan yang gagap, tidak bertanggungjawab dan tidak disukai ramai. Tengku Omar mempergunakan peluang ini untuk menggulingkan sultan muda tersebut dengan bantuan adindanya, Tengku Mahmud dan pejuang-pejuang Siak dari Kemaman. Tengku Omar akhirnya berjaya dan sultan muda tersebut akhirnya berundur ke Kelantan.

Tengku Omar akhirnya menaiki takhta Terengganu pada 4 November 1839 (27 Syaban 1255 Hijri) dan memakai gelaran Sultan Omar Riayat Shah, namun baginda lebih terkenal dalam sejarah sebagai Baginda Omar atau Omar Penakluk. Jikalau diikutkan, Sultan Omar sendiri adalah putera Sultan Ahmad dengan isteri ketiganya, seorang wanita Cina Islam yang menggunakan nama Cik Puan Besar Hajar. Baginda digambarkan sebagai seorang sultan yang sangat kacak, bertubuh tegap, berkulit putih cerah, berhidung mancung, bermata tajam dan mempunyai rambut yang agak kerinting. Adalah dinyatakan bahawa pada saat keputeraan baginda, seorang ahli nujum meramalkan bahawa baginda akan menjadi seorang raja besar di Terengganu berdasarkan tahi lalat besar di dadanya.

Zaman pemerintahan baginda bolehlah dikatakan antara zaman keemasan bagi Terengganu. Baginda ialah seorang raja yang berjiwa rakyat dan sangat popular di kalangan rakyatnya. Rakyat Terengganu ketika itu mengingati baginda sebagai seorang raja yang mempunyai sifat penuh kemesraan, sangat lincah berkata-kata dan pandai bersenda-gurau. Baginda kerap melakukan lawatan pemeriksaan ke semua daerah di dalam negeri dan bergerak bebas dan mudah didekati rakyatnya sendiri. Adalah menjadi satu kekerapan kepada baginda selepas solat Jumaat untuk memberi sedekah kepada golongan fakir miskin. Baginda dikatakan mempunyai gelaran mesra yang diberikan oleh rakyat kepada baginda iatu “Toh Nyang.”

Baginda juga terkenal sebagai seorang sultan yang sangat mementingkan kemajuan serta kedaulatan negerinya dari ancaman luar. Apabila Persetiaan Burney ditandatangani antara wakil British, Sir Henry Burney dan kerajaan Siam pada 20 Jun 1826 di mana British mengakui pertuanan Siam ke atas Negeri-negeri Melayu Utara termasuklah Terengganu, baginda dengan tegasnya menolak sebarang hubungan uftian dengan Siam dan menghentikan amalan pemberian bunga emas ke Siam.

Ketika itu pula,baginda menerima tetamu dari Lingga iatu Sultan Mahmud yang juga merupakan anakanda saudara baginda yang digulingkan oleh Belanda pada tahun 1857. Sultan Omar memberi kebenaran kepada bekas sultan Lingga itu untuk berlindung di Terengganu namun sama sekali tidak memberi sebarang bantuan kepadanya untuk mendapatkan balik takhta kerajaan Lingga. Bekas sultan yang terdesak itu akhirnya meminta pertolongan Siam.

Raja Mongkut menyedari bahawa inilah masanya Siam mempergunakan Sultan Mahmud ini untuk mendesak Terengganu menerima pertuanan Siam. Sultan Mahmud akhirnya diperlengkapkan dengan sebuah kapal api dan tentera Siam dari Singgora dan turut diiringi oleh Putera Mahkota Chulalongkorn (kemudiannya menjadi raja Siam pada tahun 1868) lalu diarahkan berlayar ke Kuala Terengganu dan berjumpa dengan Sultan Omar.

Namun ketika itu pula, sebuah kapal perang meriam British sedang berada di Kuala Terengganu dan kapal api Siam yang dinaiki Sultan Mahmud itu terpaksa berundur semula ke Singgora. Kapal perang British itu pula dinaiki oleh Sir Hugh Clifford yang datang ke Terengganu untuk meminta Sultan Omar supaya menghentikan pemberian bantuan ketenteraan kepada Bendahara Wan Ahmad dalam perang saudara Pahang atas alasan menganggu perdagangan mereka di sana. Namun baginda tetap menghantar bantuan kepada Wan Ahmad sehinggalah pada tahun 1862 apabila Wan Ahmad berjaya mengalahkan pesaingnya, Wan Mutahir.

Dalam bulan November 1862, dua buah kapal perang British telah dihantar ke Kuala Terengganu oleh Sir Orfeur Cavenagh, gabenor British di Singapura. Tujuan penghantaran dua kapal perang tersebut ialah untuk memujuk Sultan Mahmud supaya pulang ke Siam dalam tempoh 48 jam atau Kuala Terengganu bakal dibedil oleh meriam-meriam mereka. Sultan Mahmud enggan berbuat demikian dan ini mencetuskan kemurkaan Sultan Omar. Baginda bergaduh besar dengan Sultan Mahmud sebelum akhirnya meninggalkan Kuala Terengganu, yang kemudiannya dibedil oleh meriam-meriam British sehingga mengorbankan dua puluh orang. Sultan Mahmud terpaksa beralah dan meninggalkan Terengganu menuju ke Siam sebelum akhirnya baginda mangkat di Pahang pada 10 Julai 1864.

Sultan Omar akhirnya mangkat pada 11 April 1876 di Istana Hijau di Kuala Terengganu dan kemudiannya dimakamkan di pekarangan Masjid Abidin.

dikopipes serta kredit kepada RAD di: http://www.thepatriots.my/sultan-sul...dalam-sejarah/

No comments:

Post a Comment