Masih ingatkah tentang tragedi tenggelamnya kapal TLDM KD SRI PERAK? Salah seorang anak kapal yang terselamat....
BEKAS anggota tentera laut, Ismail Abdul Aziz, 54, mahu membukukan
pengalaman getir 72 jam yang dilalui oleh mereka yang terselamat apabila
kapal KD Sri Perak tenggelam di Laut China Selatan 28 tahun yang lepas.
"Saya memang suka menulis. Sekarang saya coretkan catatan pengalaman
hidup-mati di laut dalam blog saya dan saya harap dapat membukukannya
satu hari nanti," kata bekas anggota tentera Tentera Laut DirajaMalaysia
(TLDM) itu.
Buku yang mahu dinukil oleh Ismail menyingkap kembali sejarah
hitammembabitkan kapal peronda KD Sri Perak, yang tenggelam berdekatan
Pulau Natuna dan mengorbankan tiga anak kapal.
Bekas Laskar Kelas 1 itu membuka bicara bersama penulis dengan berkata
pengalaman yang bermula pada tanggal 8 Jan, 1984 adalah sesuatu yang
tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat.
Walaupun meninggalkan dunia ketenteraan pada 1990, namun Ismail atau
lebih mesra menggelarkan dirinya Pak Mail, setiap detik cemas semasa
tenggelamnya kapal itu dan pengalaman 72 jam atas pelampung
menantibantuan tiba masih segar dalam ingatan Ismail bagaikan baru saja
berlaku.
Sesekali dahinya berkerut apabila menceritakan saat-saat berhadapandengan maut di tengah-tengah laut yang luas.
HARI KEJADIAN
Pelayaran KD Sri Perak bermula pada 6 Jan, 1984 daripada Pangkalan TLDM
di Lumut dengan kapal itu belayar secara konvoi bersama-sama KD Sri
Terengganu dan KD Hang Tuah ke Labuan.Ismail adalah antara 29 anggota,
pegawai dan pegawai kadet di atas kapal malang itu dan beliau bertugas
sebagai pengawal radio.
Separuh daripada anak kapal KD Sri Perak adalah muka baru termasuk
Ismail yang baru melaporkan diri pada akhir 1983. Malah Pegawai
Memerintah (PM) Kapal, Lt Chandran dan Pegawai Laksana Lt Madya
FuadIthnin juga baru ditugaskan atas kapal itu.
KD Sri Perak berada dalam keadaan baik untuk memulakan perjalanan
selepas baru menjalani penyenggaraan di limbungan Kuala Terengganu.Pada 7
Jan, konvoi kapal singgah di Tambatan Pangkalan Malaysia di Woodland
Singapura untuk bermalam sebelum belayar ke Labuan padakeesokkannya bagi
siri latihan untuk pegawai-pegawai kadet baru TLDM.
Namun ketika berada di Laut China Selatan, antara Semenanjung dan Sabah,
Sarawak, KD Terengganu yang berada di belakang KD Hang Tuah menghadapi
masalah teknikal menyebabkan konvoi berpecah dua.
KD Sri Perak, yang berada paling belakang di arah menuju ke Labuan
sendirian sementara KD Hang Tuah terpaksa mengiringi KD Terengganuuntuk
mendapatkan bantuan.
"Ketika itu ombak kuat menghempas kapal, hingga anak-anak kapal susah
untuk beristirehat atau tidur serta jarak pemandangan amat terhad.
"Akibat hempasan yang kuat itulah dipercayai 'hatch' atau penutup
keselamatan atas geladak di hadapan kapal renggang menyebabkan air laut
memasuki kapal sedikit demi sedikit," katanya.
DETIK CEMAS
Ketika itu tiada siapapun yang menyedari air laut telah memasuki kapal
dan sekitar pukul 4.30 petang Ismail yang berada di bahagian *****an
kapal dikejutkan dengan teriakan berkali-kali dari atas geladak
yangmenyuruh semua naik.
Kapal berukuran kira-kira 30 metre (100 kaki) panjang itu sudah mula
tenggelam.Walaupun sukar mempercayainya, namun beliau tetap naik ke atas
untuk mengetahui apa yang berlaku dengan laskar kelas 2, yang
dikenalisebagai Ibrahim, memberitahu bahawa air telah masuk ke dalam
kapal dari bahagian hadapan.
"Saya pergi ke bahagian hadapan dan mendapati air telah naik
sehinggaparas betis. Saya kembali ke stesen saya dan terus menghubungi
Stesen Radio Markas Panglima Armada, namun tidak berhasil," katanya.
Pelbagai usaha dilakukan untuk memaklumkan apa yang berlaku dan Ismail
turut mencuba membuat panggilan MAYDAY namun tetap tidak berhasil.
"Dengan dibantu Ibrahim, saya tetap cuba untuk berhubung menggunakan
radio tetapi tiba-tiba radio GSB 900 kami senyap, kerdipan lampu pada
radio terpadam dan radio itu tidak lagi berfungsi," katanya.
Memandangkan haluan kapal semakin tenggelam dan keadaan bertambah cemas,
pemerintah kapal mengarahkan semua anak kapal berkumpul di geladak
*****an dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran Ismail pada masa
itu.
Memandangkan haluan kapal semakin tenggelam dan keadaan bertambah cemas,
pemerintah kapal mengarahkan semua anak kapalberkumpul di geladak
*****an dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran Ismail pada masa
itu.
Menyedari kapal tidak lagi boleh diselamatkan, anak kapal dan
pegawaibersiap sedia menerima arahan selanjutnya daripada pemerintah
kapal.
Ismail masih ingat dalam suasana kelam kabut itu, ada yang sempat
memakai jaket keselamatan dan ada yang tidak memakainya termasuk Ismail.
Juga masih segar dalam ingatan Ismail wajah masing-masing ketika itu,
dalam keadaan ketakutan tambahan pegawai pemerintah memaklumkan satu
daripada dua pelampung penyelamat di bahagian haluan telah hilangdipukul
ombak.
Atas inisiatif laskar kanan Bakar Satiman dan Laskar Kelas 2, yang
dikenali sebagai Mokhtar, mereka memotong tali yang diikat pada pendakap
dan mencampakkan pelampung keselamatan ke laut.
Haluan kapal ketika itu tenggelam 45 darjah hingga menyebabkan ada di
kalangan anak kapal menggelongsor dan terpaksa berpaut pada mana-mana
besi untuk menyelamatkan diri dan ada juga yang terjatuh ke laut.
"Ia berlaku terlalu pantas dan kami terpaksa terjun ke laut
menyelamatkan diri. Pelampung penyelamat yang dicampakkan ke laut
terbuka dengan baik dan kami terus berenang menuju ke pelampung,"
katanya yang sempat melihat kapal itu tenggelam sepenuhnya di
tengahlautan pada kira-kira pukul 5 petang.
SAAT SEDIH
Ismail berkata ketika berada dalam pelampung mereka melihat tiga daripada rakan dalam air dan langsung tidak bergerak.
Mereka ialah Pegawai Laksana Mohd Fuad, Laskar Kanan Kelas 2 Shaharuddin Sharani, 22 dan Mokhtar Amir Nawi, 20.
"Ketiga-tiga mereka memakai jaket keselamatan. Tidak tahu kenapa,
mungkin terlalu panik, atau tidak yakin menyebabkan mereka tidak
berenang ke pelampung penyelamat walaupun jarak ketika itu hanya dalam
30 meter sahaja.
"Keadaan ombak yang kuat dan tinggi, menolak pelampung dengan kuat
mengikut arah angin sehingga dalam beberapa minit sahaja, ketiga-tiga
orang itu hilang daripada pandangan," katanya.
"Waktu itu, jam di tangan menunjukkan pukul 5.05 petang. Walaupun sedih
dan sesal kerana tidak mampu membantu tiga rakan itu, namuntidak ada apa
yang mampu dilakukan melainkan berdoa agar bantuan cepat sampai.
"Bersyukur kerana kejadian itu berlaku pada petang, kerana masih siang.
Jika malam, mungkin lebih ramai lagi yang menjadi korban," katanya.
Tetapi pelampung penyelamat yang hanya boleh menampung 15 orang, kini
menampung 26 orang dalam keadaan berhimpit-himpit dengan masing-masing
berada dalam posisi yang sama sepanjang masa.
Peralatan survival yang terdapat dalam pelampung penyelamat itu, seperti
air tin, biskut, alat memancingdan beberapa bahan lagidikongsi
bersama-sama.
"Ketika itu air menjadi keperluan yang amat penting. Dengan jumlah yang
ramai bekalan tak cukup, jadi kami banyak bergantung kepada air hujan
untuk diminum sepanjang 4 hari tiga malam di tengah lautan," katanya.
HARI YANG PANJANG
Semasa terapung di laut tanpa arah, masa berlalu amat perlahan, katanya.
Berada di tengah lautan luas terbentang, dengan hanya berbumbungkan
langit, berhimpit serta tidak diketahui nasib seterusnya membuatkan
masing-masing melayan perasaan sendiri.
Kebanyakan anak kapal masih bujang, termasuk Ismail yang ketika itu berusia 26 tahun.
"Hanya tujuh atau lapan orang sahaja yang telah berumahtangga ketika
itu. Mungkin perasaan mereka berbeza dengan saya kerana tanggungjawab
berat yang dipikul sebagai suami dan bapa.
"Saat itu, kami membantu menaikkan semangat antara satu sama lain, malah
ketika itu langsung tidak terlintas di fikiran saya tentang takdir yang
menunggu kami," katanya.Kegelapan malam, diikuti dengan hujan serta
ombak kuat membawa mereka entah ke mana dengan hujan turun pada dua
malam.
"Pada malam pertama itu, kami melihat satu cahaya terang jauh di ufuk
iaitu sebuah kapal dagang yang bergerak seakan menghampiri kami. Saya
mengambil pistol kecemasan 'flare' untuk dinyalakan bagi menarik
perhatian kapal, selain beberapa rakan menjerit-jerit minta tolong.
"Tapi sebab alunan ombak kuat, ditambah kegelapan malam, sukar bagi
kapal tu melihat kami yang kecil di lautan yang luas dan kami hanya
mampu melihat dengan kecewa kapal itu berlalu," katanya.
Ismail juga tidak melupakan kenangan bersama sekumpulan ikan lumba-lumba
yang mengiringi dan menghampiri pelampung mereka padawaktu siangnya.
Masuk hari ke dua dan ketiga di tengah lautan, kekuatan hati mula
tercabar dan masing-masing mula merasa bimbang akan nasib yang bakal
menimpa sekiranya bantuan tidak juga datang.
Dengan kaki yang kejang, kerana tidak boleh bergerak atau berlunjur
dalam keadaan berhimpit-himpit itu, serta tidur yang hanya sekadar
melepaskan pedih di mata, cukup mencabar emosi dan fikiran ketika itu.
"Bekalan makanan yang ada di pelampung juga semakin kehabisan.
Masing-masing sudah mula bersuara meluahkan kebimbangan. Ada
yangmerintih meluahkan rasa sedih sekiranya ajal datang, terutama yang
telah ada keluarga. Semua itu sukar untuk diungkapkan ketika itu,"
luahnya.
BANTUAN TIBA
Pada hari keempat, 11 Jan mereka berdepan dengan masalah baru.
Pelampung itu semakin kekurangan angin membuatkan perasaan bertambahbimbang.
Menjelang tengah hari, hujan sederhana lebat turun dan dengan air itu ditadah untuk diminum.
Selepas hujan berhenti, tiba-tiba, mereka mendengar deruan enjin yang
kuat di udara dan melihat sebuah pesawat jenis AP-3C ORION milik Tentera
Udara Australia terbang rendah.Pesawat itu adalah daripada pasukan
penyelamat yang terlibat dalamoperasi mencari dan menyelamat.
Ismail berkata, beliau dan semua di atas pelampung melambai-lambaikan
tangan ke arah kapal terbang itu dan ketika itu kegembiraan jelas
terpampang pada raut wajah masing-masing, malah ada yang menangis
menjerit kesyukuran termasuk dirinya.
"Kapal terbang itu membuat satu pusingan dan kembali semula sambil
melepaskan tembakan 'flare' di empat penjuru pelampung kami
untukmenandakan lokasi.
"Kemudian juru terbang membuat pusingan sekali lagi dan menjatuhkan
bungkusan plastik berisi makanan dan minuman sebelum berlalu," katanya.
Lebih kurang satu jam kemudian, pada lebih kurang pukul 5 petang, sebuah
kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh tiba untuk mengambil
kesemua yang terselamat.
Beliau berkata, ada antara anak kapal yang terpaksa dipapah naik ke atas kapal kerana lemah dan kejang di kaki.
Kesemua mereka kemudiannya diberi layanan dan makan minum di atas kapal
itu sebelum mereka diambil pula oleh kapal KD Mahawangsa untuk diberikan
bantuan sewajarnya.
Keesokkan harinya, 12 Jan, dua buah helikopter Nuri membawa mereka ke
Kuching sebelum menaiki pesawat Hercules 130 milik Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) yang terbang ke Ipoh.
Mereka disambut oleh Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Madya
Datuk Mohd Zain Mohd Salleh dan pegawai-pegawai kanan lain.Usaha mencari
dan menyelamat tiga orang yang hilang di lautan terus dijalankan namun
mereka gagal ditemui.
BUKUKAN PENGALAMAN
Beliau berkata setelah 28 tahun berlalu, tidak ada seorangpun di
kalangan mereka yang sama-sama terlibat dalam tragedi itu membicarakan
dan berkongsi pengalaman pahit.Semuanya bagai tertutup rapi dalam
kenangan masing-masing.
"Saya harap hasrat untuk membukukan pengalaman itu akan terlaksana.Ini
sebagai satu tanda kenangan peribadi saya untuk anak dan cucunanti,"
katanya yang telah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak berumur
antara 17 dan 23 tahun.
Ismail yang kini bekerja sendiri, sedang berusaha mengesan rakan-rakan
yang terlibat untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka untuk
dibukukan.
"Hanya yang melalui dan merasainya tahu bagaimana keadaan ketika itu dan
saya adalah antara yang terpilih untuk melaluinya dan bersyukur masih
hidup dan dapat berkongsi pengalaman itu," katanya mengakhiriperbualan. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment