Pada akhir tahun 1979, Masjidil Haram yang di dalamnya mempunyai Kaabah
yang menjadi kiblat kepada jutaan umat Islam sejak berkurun lama telah
diserang dan ditawan oleh lebih kurang 500 orang penyerang yang diketuai
oleh Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al Utaibi.
Menurut sumber, beliau telah mengiktiraf abang iparnya iaitu Abdullah
Hamid Mohammed Al-Qahtan sebagai Imam Mahdi dan beliau mempunyai
kepercayaan bahawa semua ketua-ketua kerajaan di dunia Islam pada masa
itu adalah korup dan menjadi proksi kepada kuasa barat terutamanya
Amerika Syarikat dan beliau mahu keluarga Di Raja As- Saud yang
memerintah Arab Saudi digulingkan.
Dengan perancangan teliti dan rapi beliau dan pengikutnya telah
menyerang Masjidil Haram pada 20 November 1979 dan menjadikan ribuan
jemaah yang sedang melakukan ibadah di dalamnya sebagai tebusan. Inilah
pertumpahan darah yang pertama di dalam sejarah moden kota Mekah!!
Tarikh 20 November 1979 dipilih Juhaiman kerana ianya bersamaan pada
hari pertama tahun 1400 Hijrah. Ini kerana terdapat ramalan bahawa Imam
Mahdi akan muncul dan ditabalkan pada hari tersebut.
Beberapa hari sebelum serangan, mereka telah menyembunyikan senjata,
peluru dan bekalan makanan yang secukupnya di dalam bilik-bilik bawah
tanah Masjidil Haram. Senjata yang diperolehi mereka itu dicuri dari
depot senjata Tentera Pengawal Kebangsaan Arab Saudi beberapa bulan
sebelumnya.
Untuk mencuri dan menyeludup senjata adalah perkara mudah bagi Juhaiman
kerana beliau dan beberapa pengikutnya pernah berkhidmat di dalam
Tentera Pengawal Kebangsaan Arab Saudi selama 18 tahun.
Serangan ke atas Masjidil Haram menggemparkan dunia Islam kerana pada
waktu itu musim haji baru sahaja berakhir. Pagi itu ketika Imam Masjidil
Haram ketika itu, Sheikh Mohammed al-Subayil sedang bersedia untuk
mengimamkan hampir puluhan ribu jemaah untuk menunaikan solat Subuh,
Juhaiman dan orang-orangnya berjaya mengunci kesemua pintu keluar masuk
masjid, membunuh dua anggota polis yang hanya bersenjatakan cota dan
menahan ribuan jemaah yang terperangkap sebagai tebusan.
Juhaiman kemudiannya mengambil alih sistem pembesar suara masjid dan
mengumumkan Imam Mahdi telah muncul di Kota Mekah. Selain daripada itu,
beliau mahukan eksport minyak Arab Saudi ke Amerika Syarikat dan
negara-negara lain dihentikan serta merta dan meminta pengusiran kesemua
penasihat ketenteraan bukan Islam dari tanah Arab Saudi.
Sebagai tindak balas dari serangan tersebut, Tentera Pengawal Kebangsaan
dan Tentera Arab Saudi cuba merempuh masuk perkarangan Masjidil Haram
menggunakan kereta kebal menerusi pintu masuk utama tetapi gagal kerana
kekukuhan pintu tersebut.
Tentera dibawah arahan Juhaiman juga diletakkan di atas menara masjid
lengkap dengan sniper. Akibat dari tentangan kuat dari pihak Juhaiman
dan korban yang tinggi dari pihak tentera Arab Saudi, serangan balas itu
dihentikan.
Ketika itu telah timbul masalah dari segi syara’ mengenai penggunaan
senjata api di dalam perkarangan Masjidil Haram. Majlis Ulama’ Arab
Saudi pada awalnya menghalang penggunaan senjata kerana ia akan
mencemarkan kesucian Kaabah tetapi atas desakan tentera dan kerajaan
akhirnya Majlis Ulama’ Arab Saudi mengizinkannya dengan mengeluarkan
satu fatwa untuk membenarkan penggunaan senjata api untuk melawan
Juhaiman.
Setelah serangan awal untuk menawan kembali Masjidil Haram gagal,
kerajaan Arab Saudi terpaksa meminta bantuan dari Pasukan Anti Keganasan
Perancis (GIGN) dan seramai tiga orang anggota GIGN dihantar ke Arab
Saudi.
Di lapangan terbang Jeddah, Majlis Ulama’ Arab Saudi menetapkan syarat
supaya ketiga-tiga anggota GIGN secara rahsia memeluk Islam bagi
membolehkan mereka menjejakkan kaki ke dalam kawasan ‘tanah haram’
Mekah.
Walaupun mereka “telah memeluk Islam” kehadiran anggota komando
Peranchis ini dirahsiakan pihak Arab Saudi bagi menutup kegagalan mereka
dalam usaha menamatkan pengepungan yang telah berlanjutan hampir dua
minggu itu.
Antara rancangan awal GIGN ialah membanjiri bilik bawah tanah Masjidil
Haram yang digunakan sebagai tempat penahanan tebusan dan tempat
persembunyian para pengikut Juhaiman. Selepas bilik-bilik ini dibanjiri,
kabel hidup yang mempunyai voltan tinggi akan dijatuhkan ke dalamnya
tetapi rancangan ini ditolak kerana ia boleh membawa kepada kematian
ramai tebusan.
Akhirnya mereka mengambil kata putus untuk menebuk lubang-lubang pada
lantai masjid dan menjatuhkan bom tangan terus ke bilik-bilik bawah
tanah tersebut.
Selepas hampir dua minggu, peristiwa serangan dan pengepungan Masjidil
Haram berjaya ditamatkan pada 4 Disember 1979. Mengikut laporan rasmi
dari pihak berkuasa Arab Saudi, menyatakan seramai 127 orang telah
terbunuh dan 451 yang lainnya tercedera. Jumlah ini termasuklah para
jemaah yang dijadikan tebusan, anggota pasukan keselamatan Arab Saudi
dan juga pengikut-pengikut Juhaiman.
Namun ada yang percaya angka sebenar kematian ialah 255 orang dan 560
orang lagi tercedera. Setelah menyerah diri, Juhaiman dan para
pengikutnya yang masih hidup dijatuhkan hukuman pancung oleh Kerajaan
Arab Saudi.
Rata-rata umat Islam seluruh dunia marah dengan keengganan kerajaan Arab
Saudi untuk memenuhi permintaan dan tuntutan Juhaiman dan seterusnya
menghalalkan pembunuhan serta penggunaan senjata di perkarangan masjid.
Ramai yang berpendapat bahawa keputusan itu banyak menyebelahi Amerika
Syarikat dan akibatnya beberapa kedutaan Amerika Syarikat seperti di
Pakistan dan Libya telah dibakar oleh para perusuh dalam tunjuk
perasaan. Demonstrasi dan protes juga diadakan di Filipina, Turki, UAE,
Bangladesh dan India bagi membantah tindakan dan keputusan yang telah
dibuat oleh Raja Khalid (atau Putera Mahkota Fahd?).
Bagi kebanyakan orang Islam, tindakan keluarga As-Saud itu membuktikan
kebenaran yang mereka itu hanyalah boneka Amerika Syarikat.
Ketika peristiwa itu berlaku, Masjidil Haram sedang dalam proses
pengubahsuaian dan pembesaran masjid. Kerja-kerja pengubahsuaian ini
dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi iaitu
Syarikat Pembinaan Ben Laden. Ianya adalah syarikat milik kepada bapa
Osama Bin Laden.
Insiden ini juga telah membakar semangat Osama. Beberapa tahun kemudian
beliau telah diusir keluar dari Arab Saudi kerana kelantangannya
mengkritik keluarga As-Saud. Selebihnya kita telah tahu dengan apa yang
telah tercatat di dalam lipatan sejarah.
Wallahu’alam...
No comments:
Post a Comment