1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah
buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW
hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah
menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.
2. Seorang
wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis
dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah
SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika
apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan
kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan
Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.
3. Rasulullah
SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas
seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?”
Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil.
Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi, dia
tidak akan dikasihi.”
4. Rasulullah SAW sangat mengasihi
Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak
kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke mana perginya si polan si polan
itu…”
5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW,
tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan
amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70
hajatnya.”
6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di
satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana
sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata,
“Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai,
Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah
memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.
7.
Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah
di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan
pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota
tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat
penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk
menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi
Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya
ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda
terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi
kaumku, mereka tidak mengetahui.”
8. Pernah seorang Sahabat duduk
secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda
membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak
menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.
9.
Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh
seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang
ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah
SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali
itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa.
Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak
akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.
10. Satu ketika seorang
musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu
batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah
SAW dan berkata, “Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan
tanganku?”
Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”
Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”
Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”
Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang
ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah
syahadah (masuk Islam).
11. Rasulullah SAW sangat penyayang
dengan anak-anaknya dan bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada
kesilapan isteri-isterinya, baginda selalu memberi maaf. Baginda juga
membantu kerja-kerja rumah dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.
12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering
menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan
dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama
mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.
13.
Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang
kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya,
“Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya
telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya
terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk
berhari raya.” Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib
kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi
ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak
terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah
SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak
tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju
raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu,
begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.
14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah
SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan.
Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia
menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah
SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri.
Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama
masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya Rasulullah SAW.
“Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya
kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar,” jawab budak itu.
Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri
menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita.
Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam,
barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya,
“Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu
menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami
mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”
Rasulullah SAW
terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak
itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah
menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW
menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan
wanita itu lantas berkata, ” Tidak, ya Rasulullah. Mulai sekarang, kami
merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan kasih sayang yang ditunjukkan
oleh Rasulullah SAW.
16. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang
Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah
melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu
menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.
17. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir
zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun
orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”
18. Rasulullah SAW
juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa
binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya
menggunakan pisau yang tajam, agar binatang tersebut cepat mati dan
tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya
unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang berlebihan daripada
apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor kucing tidur atas serban
Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting bahagian tempat kucing itu
tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing tersebut. Ketika
dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah
melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara
seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu.
Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada
dan kalangan anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan
anak-anaknya. Ketika Rasulullah melihat seekor himar yang telah diberi
tanda dengan besi panas di mukanya, baginda menentangnya dan melarang
haiwan diberi tanda dan dipukul di mukanya.
19. Ketika Rasulullah
meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada
beliau, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan mereka.”
Rasulullah berkata, “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan
bawalah mereka (ke jalan yang benar).”
20. Satu ketika Abu Zar
keluar bersama hamba sahayanya yang berpakaian seperti apa yang beliau
pakai, lalu ada orang bertanya, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Abu Zar
menjawab, beliau mendengar Rasulullah berkata: “Hamba sahaya itu adalah
saudaramu, mereka di jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka
barangsiapa saudaranya di bawah kekuasaannya (di bawah jagaannya),
hendaklah dia memberi makan dengan apa yang dia makan dan memberi
pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan janganlah hamba itu disuruh
melakukan pekerjaan di luar batas kemampuannya. Apabila mereka
diperintahkan bekerja maka bantulah mereka.”
No comments:
Post a Comment