Pada suatu malam Nabi s.a.w. telah memperkenalkan seorang lelaki
penduduk asal Madinah. Wajah lelaki itu amat bersih serta janggutnya
disisip dengan begitu rapi.
"Malam ini saya ingin memperkenalkan salah seorang calon penghuni Syurga." kata Nabi sambil menoleh kearah lelaki itu.
"Lelaki ini adalah adalah calon penghuni syurga" kata Nabi s.a.w.
kepada sejumlah sahabat yang ada setelah selesai solat fardu isya'.
Antara sahabat yang hadir pada malam itu ialah Anas bin Malik dan
Abdullah bin Umar. Mereka begitu tertarik untuk menyelidiki ibadat
lelaki itu. Mereka tertanya sesama sendiri kenapa lelaki itu yang
ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dan apakah jenis ibadat yang telah
dilakukan sehingga belum lagi dia wafat dia telah dipastikan akan masuk
Syurga.
Lelaki itu bukanlah seorang yang alim malah amalannya
biasa saja dan tidak terlihat hal-hal yang istimewa pada dirinya selama
ini. Malahan pada ketika Nabi s.a.w. memperkenalkannya tadi dia telah
bersiap-siap hendak pulang ke rumah. Adakah Rasullullah hendak bergurau?
mustahil baginda berkata sesuatu andaikata baginda tidak mendapat
wahyu. Maka ucapan Nabi pada malam itu pastilah berdasarkan wahyu dari
Tuhan. Kerana hanya Tuhan sajalah yang berhak menentukan seseorang itu
masuk syurga atau neraka.
Dan yang lebih mengagumkan para sahabat
terhadap lelaki tersebut ialah bukan pada malam itu sahaja Nabi
menyatakan lelaki itu sebagai calon Syurga. Malah keesokan paginya Nabi
tetap mengatakan perkara yang sama.
Maka Abdullah bin Umar
semakin ingin menyelidiki ibadat lelaki tersebut. adakah lelaki itu cuma
berlagak seperti orang biasa semasa di masjid dan di rumahnya dia
sentiasa berzikir dan berdoa. Atau adakah dia begitu tulus ikhlas
sehingga tidak sedikit pun daripada amalannya boleh diketahui orang.
Abdullah bin Umar tidak sanggup lagi menahan keinginannya, apabila Nabi
s.a.w. mengulangi kenyataannya bahawa lelaki itu adalah sebagai calon
ahli Syurga. Setelah selesai solat isya' Abdullah bin Umar mengikuti
lelaki itu dari belakang keluar dari masjid. Lelaki itu berasa hairan
melihat telatah Abdullah lantas Abdullah bin Umar pun bertanya :
"Saya ingin menumpang di rumah saudara pada malam ini. Adakah saudara
sudi menerima saya sebagai tetamu selama tiga malam?" tanya Abdullah.
"Sungguh besar hati saya kerana sudi bermalam dirumah saya." sahut lelaki itu kehairanan.
"Apakah saudara benar-benar ingin bermalam di rumah saya?" tanya lelaki itu untuk mendapat kepastian.
"Sungguh, memang saya ingin sekali bermalam di rumah saudara.
Rasullullah telah memperkenalkan saudara sebagai orang yang paling baik.
Dan saya ingin mencontohi ibadat saudara kerana saya pun ingin masuk
syurga." Jawab Abdullah.
"Tapi, saya tidak mengamalkan ibadat lain selain dari apa yang kamu saksikan" Jelas lelaki itu lagi.
"Sungguhpun begitu saya tetap ingin bermalam dirumah saudara."
"Jika begitu, silalah ke rumah saya" balas lelaki itu lagi.
Abdullah bin Umar yakin dia akan berjaya menyelidiki ibadah lelaki itu.
sebaik sahaja tiba di rumah, Abdullah meminta izin untuk tidur lebih
awal. Ini adalah kerana dia hendak mengintip amal ibadah lelaki itu. Dia
berpura-pura tidur padahal dia sendiri pun tidak mengantuk. Dia tetap
mengintai dan memasang telinganya dengan berhati-hati.
Menurut
Anas bin Malik, Abdullah telah mengintip lelaki itu tiga hari tiga malam
tanpa tidur, tetapi tiada sesuatu yang istimewa terlihat olehnya.
Lelaki itu tidak berzikir, tidak membaca Al-Quran bahkan tidak juga dia
bangun solat malam seperti yang disukai oleh Rasullullah.
Pada
malam pertama sejak Abdullah membaringkan diri, lelaki itu turut baring
disebelahnya. Tetapi semasa Abdullah berpura-pura tidur, dilihatnya
lelaki itu telah benar-benar nyenyak.
"Tetapi tatkala dia terjaga tengah malam saya perhatikan apa yang dilakukan oleh lelaki itu." kata Abdullah bin Umar.
"Apa yang saudara saksikan?" tanya Anas.
"Sangkaan saya meleset, saya sangka dia akan melakukan berbagai ibadah
rupanya dia cuma bangun sekadar membalikkan badannya. Dan setelah itu
dia mengucapkan "Ya Allah" kemudian dia tidur semula." jawab Abdullah.
"Pada malam kedua bagaimana?" tanya Anas lagi.
"Pada malam kedua pun dia terbangun tengah malam dan setelah menyebut nama allah, dia kembali tidur semula".
"Dan pada malam ketiga pula bagaimana?" tanya Anas inginkan kepastian.
"Malam ketiga pun dia tidak melakukan apa-apa, tidak banyak berbeza
dengan malam pertama dan malam kedua."
Tetapi Abdullah bin Umar
menduga boleh jadi lelaki itu tidak melakukan berbagai ibadah kerana
jiwanya teramat ikhlas. Maka sebelum dia meninggalkan rumah lelaki
tersebut Abdullah pun bertanya : "Wahai saudaraku, saya ingin sekali
mengetahui amal badah mu. Sudilah kiranya saudara menerangkan hal-hal
yang boleh pula membawa saya ke syurga."
"Tidak ada amal ibadah saya selain daripada apa yang saudara saksikan" jawab lelaki itu bersungguh-sungguh.
Mendengar jawaban lelaki itu Abdullah pun tidak bertanya lagi. Setelah
mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu kerana telah sudi menerimanya
sebagai tetamu selama tiga malam Abdullah pun pergi dari situ,
tiba-tiba lelaki itu memanggilnya seraya berkata :
"Saudara....memang tiada ibadahku selain daripada apa yang telah saudara
saksikan dengan mata kepala saudara sendiri. Tetapi di samping itu saya
juga tidak pernah iri hati terhadap sesiapapun." jelas lelaki itu
memberi pengakuan.
"Rupanya inilah sikap yang amat terpuji yang
ada pada dirimu. Maka aku pun berjanji tidak akan mencela sesiapapun.
Dan aku pun tidak akan iri hati terhadap sesiapapun. Terima kasih
saudara kerana telah menyatakan suatu petunjuk yang berguna kepada
saya." ujar Abdullah dengan gembira.
Sesiapa yang mengumpat, iri
hati dan mencaci orang lain hendaklah ia meminta maaf kepada orang itu
kerana Allah s.w.t. tidak akan mengampunkan dosa antara manusia dengan
manusia. Oleh itu hendaklah ia selesaikan didunia. Di Akhirat adalah
urusan Allah dengan hambanya.
No comments:
Post a Comment