Orang diberi keuzuran makan secara terbuka di siang hari Ramadan
Mukadimah
Di antara isu yang menjadi perbualan hangat di laman sosial ketika ini
adalah berkenaan boleh ataupun tidak seseorang yang tidak boleh berpuasa
disebabkan keuzuran makan secara terbuka di siang hari bulan Ramadhan ?
Mereka itu termasuklah wanita yang berada dalam keadaan haid, seseorang
yang bermusafir, golongan tua yang tidak mampu berpuasa, dan juga orang
yang sakit. Justeru, Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadhan kali ini akan
membahaskan isu ini secara terperinci.
Siapakah Golongan Yang Diberi Keuzuran Untuk Tidak Berpuasa?
Berikut kami kongsikan beberapa golongan yang diberikan keizinan oleh
syarak untuk tidak berpuasa disebabkan keuzuran. Antaranya:
Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid & Nifas
Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid
diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka
puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa
wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk
menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan
sabda Nabi S.A.W:
أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ
Maksudnya: Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?
Riwayat al-Bukhari (1951)
Kedua: Orang Yang Dalam Keadaan Sakit
Orang yang sakit diberikan keringanan untuk berbuka puasa (tidak
berpuasa). Apabila dia sihat semula maka wajib ke atasnya untuk
menggantikan puasanya yang ditinggalkan tersebut. Ini berdasarkan firman
Allah S.W.T:
أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa
dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka
gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.
Surah al-Baqarah (184)
Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:
Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang
tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan
kesembuhan yang terdapat pada dirinya.
Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya.
Ketiga: Orang Yang Sedang Bermusafir
Orang yang sedang dalam permusafiran diberikan rukhsah (keringanan)
untuk berbuka (tidak berpuasa). Ini adalah berdasarkan firman Allah
S.W.T:
أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa
dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka
gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.
Surah al-Baqarah (184)
Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan
keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu
kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang
lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria
untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya
adalah seperti berikut:
Permusafiran tersebut merupakan
perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir
yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.
Jika orang yang
bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya
tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah
lebih afdhal untuk dia teruskan puasa.
Bolehkah Golongan Yang Disebutkan Di Atas Untuk Makan & Minum Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadhan?
Inilah isu utama yang menjadi tumpuan kami untuk diulas. Kerana ia
menjadi isu yang agak hangat dibincangkan. Sebelum kami mengulas lebih
lanjut, suka untuk dikongsikan bersama beberapa kisah yang boleh
dijadikan pengajaran.
Pertama: Rasulullah S.A.W bersabda:
أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلاَ فَخْر
Maksudnya: Aku adalah ketua (penghulu) bagi seluruh anak Adam dan itu bukan satu kebanggaan.
Riwayat Abu Daud (4308)
Ketika mengulas hadis ini, Sulthan al-Ulama al-Izz Ibn Abd al-Salam (w.
660 h.) berkata: Nabi S.A.W menyebut bahawa hal tersebut bukanlah suatu
kebanggaan adalah untuk mencantas sangkaan golongan yang bersangka
buruk terutamanya apabila baginda menceritakan berkenaan dirinya.
Sekalipun perbuatan menceritakan kelebihan yang ada pada diri sendiri
itu bukanlah satu kesalahan, akan tetapi baginda tetap menyebutkan
bahawa itu bukanlah suatu kebanggaan bagi mengelakkan fitnah berlaku ke
atas diri baginda S.A.W.
Kedua: Di dalam sebuah hadis yang
sahih, Rasulullah S.A.W dilihat sedang berdua-duan dengan seorang
perempuan. Lalu dua orang lelaki dari kalangan Ansar melalui kawasan
tersebut. Sebaik sahaja mereka melihat Nabi, keduanya terus berjalan
secara laju. Maka sabda Nabi S.A.W:
عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا
صَفِيَّة بِنْت حُيَي فَقَالَا: سُبْحَانَ اللَّه يَا رَسُولَ اللَّهِ!
:"إِنّ الشَّيطَانَ يجَرِي مِن ابنِ آَدَمَ مَجْرَى الدَّم وَإِنِّي
خَشِيْت أن يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرَّا
Maksudnya: Nanti
dahulu wahai kamu berdua, sesungguhnya wanita ini adalah isteri aku
Safiyyah binti Huyaiy. Lalu keduanya berkata: Maha Suci Allah wahai
Rasulullah. Maka sabda Nabi S.A.W: Sesungguhnya Syaitan itu mengalir
dalam tubuh badan manusia mengikut saluran darah dan aku takut dia
mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.
Riwayat Muslim (2175)
Hadis ini juga turut menunjukkan bahawa baginda S.A.W berusaha untuk
mengelakkan fitnah ke atas diri baginda serta sangkaan buruk yang
mungkin boleh terhasil ke atas orang lain melalui perbuatan baginda.
Sekalipun berdua-duaan dengan isteri itu merupakan suatu yang
dibolehkan, akan tetapi sekiranya ia boleh mendatangkan fitnah maka
perlu diberikan penjelasan keadaan yang sebenar.
Ketiga: Kisah Ibrahim Nakhaie Dengan Anak Muridnya Sulaiman al-A’masy
Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan
anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun.
Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim:
“Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut
jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu
mereka berkata: Si buta dipimpin si rabun. lalu mereka mengumpat kita
dan mendapat dosa”.
Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya
kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”.
Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih
baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”.
[Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jauzi, 7/22]
Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang
mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka
berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan
mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat
dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari
manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil
daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita
itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai
oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah
lebih baik.
Keempat: Bolehkah Seseorang Yang Melihat Anak Bulan Syawal Untuk Tidak Berpuasa ?
Diriwayatkan dari Ibn Umar R.anhuma beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا
Maksudnya: Apabila kalian melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan
apabila kalian melihatnya (anak bulan syawal) maka berbukalah (raya
sudah tiba).
Riwayat Muslim (1080)
Ketika mengulas hadis
ini, kata Imam al-Son’aani Rahimahullah: Jika seseorang yakin dia telah
melihat anak bulan Syawal, maka dia boleh untuk berbuka (tidak
berpuasa), dan sebaiknya dia sembunyikan hal itu, bertujuan untuk
memelihara hamba (orang ramai) dari mereka berburuk sangka dengannya
lalu mendapat dosa.
Rujuk Subul as Salam, al-Son’aani (2/422).
Penutup
Akhir kalam, kami berpendapat bahawa hukum seseorang yang ada keuzuran
untuk tidak berpuasa makan di siang hari bulan Ramadhan adalah HARUS.
Adalah lebih afdhal ianya dilakukan di tempat yang sunyi dari
penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri kita dari
fitnah serta menyelamatkan orang ramai dari sangkaan buruk lalu mereka
mendapat dosa. Semoga pencerahan ini dapat difahami dengan sebaiknya.
Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar menerima segala ibadah kita di bulan
Ramadhan ini, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan
mereka yang bertakwa.
Ameen.
No comments:
Post a Comment