Pages

Thursday, June 16, 2016

SUNGAI YANG TUNDUK KEPADA PERINTAH SAIYIDINA UMAR IBNUL KHATTAB.

AMRU bin al-As r.a ialah sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang berani dan cekap dalam menguruskan pentadbiran. Pada tahun 639 Masihi, gerakan menawan Mesir dilancarkan. Pada tahun 640 Masihi, tentera Islam berjaya menawan pintu masuk ke Mesir iaitu al-Farma. Seterusnya Belbis, Babylon dan Iskandariah turut berjaya ditawan. Akhirnya Mesir berada di bawah kekuasaan Islam pada tahun 642 Masihi.




Lalu  Khalifah Umar al-Khattab r.a melantik Amru al-As r.a sebagai gabenor di Mesir. 
Sewaktu Amru Al As menjadi gabenor Mesir, suatu peristiwa ganjil telah berlaku. Air sungai Nil dikatakan akan berhenti mengalir beberapa bulan lagi dan penduduk Mesir bercadang untuk melakukan upacara jahiliah iaitu mengorbankan seorang gadis yang cantik ke dalam sungai. Mereka mendesak Amru Al As supaya melakukan upacara itu. Namun Amru Al As sebagai pemerintah dan sebagai seorang sahabat Rasulullah s.a.w. tentu sekali berkeras tidak mahu melakukannya kerana jelas ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.
Tidak berapa lama kemudian air sungai Nil benar-benar telah kering. Oleh kerana pertanian di negara Mesir bergantung sepenuhnya kepada air sungai tersebut maka penduduk-penduduk di situ mulai cemas. Ada diantara mereka yang terpaksa berpindah ke kawasan lain yang lebih subur.
Keadaan ini akhirnya memaksa Amru Al As menulis surat kepada Khalifah Umar Ibnul Khattab di Madinah untuk meminta pandangannya. Amru Al As sendiri berasa serba salah tentang bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu.
Tidak berapa lama kemudian Saiyidina Umar Ibnul Khattab pun mengirim jawapannya melalui surat. Tetapi apabila surat itu sampai ke tangan Amru Al As beliau mendapati surat itu tidak ditujukan kepadanya malah kepada sungai Nil itu sendiri.
Sebelum Amru Al As mencampakkan surat tersebut ke dalam Sungai Nil yang hampir kering, ia sempat juga membaca isi surat itu yang berbunyi :
"Surat ini dikirimkan kepada Sungai Nil oleh Umar hamba Allah dan Amirul mukminin.

"Wahai Subgai Nil, jika air yang mengalir di sungai ini adalah atas kuasa mu, maka ketahuilah bahawa kami tidak memerlukan mu. Tetapi jika ianya mengalir atas kekuasaan Allah swt maka kepadaNya kami mohonkan agar mengalirkan air disungai ini."

Sebaik sahaja surat itu dicampakkan oleh Amru Al As ke dalam sungai itu, maka sungai itupun dipenuhi semula dengan air sedalam empat puluh lapan kaki pada malam itu juga. Sejak dari hari itu lenyaplah amalan jahiliyah yang diamalkan oleh penduduk Mesir pada ketika itu.
 

No comments:

Post a Comment