Alhamdulillah mutakhir ini, dengan kedatangan bulan Ramadhan
menjadikan ramai masyarakat Islam datang ke masjid membawa anak-anak
mereka bersama-sama untuk memeriahkan serta mengimarahkan masjid dengan
solat tarawih, iftar, serta menunaikan solat fardhu.
Dalam
kemeriahan itu, timbul pula persoalan bagaimana dengan kedudukan
kanak-kanak di sisi masjid. Adakah mereka boleh di bawa bersama ke
masjid? Bagaimana pula dengan kedudukan saf kanak-kanak? Bagaimana cara
ingin menegur kanak-kanak yang membuat bising di masjid?
Persoalan ini ada pro dan kontranya. Maka Bayan Linnas pada kali ini
cuba untuk memberikan kefahaman dengan sebaik mungkin menurut neraca
Islam yang sebenar.
Takrif Masjid
Dari segi bahasanya
masjid bermaksud tempat untuk sujud. Ianya merupakan isim makan (kata
nama tempat) di dalam Bahasa Arab yang mana berasal dari perkataan
sajada yang bermaksud sujud. Manakala makna masjid dari sudut istilah
pula ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya
kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah
dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima (5) waktu dan
tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu
seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan
hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat
I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid oleh Al-Imam Al-Zarkasyi).
Menurut al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, pada umumnya masjid adalah
tempat solat, tempat melakukan ibadah harian dan ini sebagai salah satu
tonggak kekuatan dalam Islam. Solat juga adalah tiang agama. Barang
siapa yang mendirikan solat, bererti dia menegakkan agama dan barang
siapa yang menninggalkannya bererti dia meruntuhkan agamanya.
Kelebihan Menuju Ke Masjid
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi antara kelebihan menuju ke masjid adalah:
•Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
الْمَشَّاؤُونَ إِلَى الْمَسَاجِدِ فِي الظُّلَمِ، أُولَئِكَ الْخَوَّاضُونَ فِي رَحْمَةِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang-orang yang banyak berjalan ke masjid ketika gelap,
mereka adalah orang-orang menceburkan diri dalam rahmat Allah”. [Riwayat
Ibn Majah, no. Hadith 771][al-Dhimyathi mengatakan sanad hadith ini
cacat]
Hadith ini bermaksud, sesiapa yang berjalan menuju masjid
khususnya dalam kegelapan malam, mereka itulah orang-orang yang
menceburkan diri dalam rahmat Allah SWT.
•Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بَشِّرْ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan
dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari
kiamat”. [Riwayat Abu Daud, no Hadith 474, al-Tirmizi, no Hadith 207 dan
Ibn Majah, no. Hadith 773][al-Albani menghukum hadith ini sahih]
Oleh yang demikian setiap langkah menuju ke masjid sama ada pada waktu
pagi atau petang akan sentiasa mendapat pahala daripada Allah SWT.
•Nabi SAW bersabda:
مَنْ غَدَا إِلَى المَسْجِدِ وَرَاحَ، أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi di waktu pagi ke masjid atau di
waktu petang, Allah menyediakan baginya suatu tempat setiap kali dia
pergi di waktu pagi dan petang”.
[Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 662 dan Muslim, no. Hadith 285]
Berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan, ternyata begitu tinggi
pahala bagi orang-orang yang sentiasa beribadat atau pun solat di
masjid. Oleh yang demikian orang-orang yang sentiasa pergi ke masjid dan
memakmurkan dengan solat, zikir, ataupun membaca al-Quran merupakan
bukti-bukti keimanan. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abi Sa’id
RA, bahawa Nabi SAW:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ المَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ
Maksudnya: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke
masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya”. [Riwayat Ahmad, no.
Hadith 11651 dan 11725, al-Tirmizi, no. Hadith 3093 dan Ibn Majah, no.
Hadith 802][Imam al-Tirmizi mengatakan hukum hadith ini Hasan Gharib]
Kelebihan Mengimarahkan Masjid
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ
الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا
اللَّـهَ
Maksudnya: “Hanya orang yang layak memakmurkan
(menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan
zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah”.
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata:
Daripada Abu Sa'id Al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Apabila kamu melihat seorang lelaki biasa pergi ke masjid, maka
saksikanlah oleh kamu bahawa dia adalah seorang yang beriman”. Allah SWT
telah berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan
masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan
hari kemudian”.
Memakmurkan masjid tidak hanya dengan
membangunkan masjid secara fizikal semata-mata. Oleh yang demikian,
sesiapa pun yang pergi ke masjid untuk solat, bertasbih, membaca, duduk
di dalam halaqah ilmu, menunggu untuk solat atau membaca al-Quran
termasuk di dalam orang yang memakmurkan masjid.
Dalam Islam,
masjid memiliki kedudukan penting kerana pada zaman Nabi SAW, masjid
menjadi pusat dakwah, pusat pentadbiran, tempat penyebaran dakwah dan
suasana negara akan tercermin melalui institusi masjid.
Nabi SAW
menyambut duta dan utusan dari pelbagai negara di masjid, menemui para
sahabat di masjid, menyampaikan ilmu di masjid dan tentera bergerak dari
masjid. Semua ini menunjukkan masjid adalah pusat kehidupan Islam dan
pusat seluruh kegiatan Islam.
Gangguan Kanak-Kanak Ketika Solat
Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansori RA, baginda SAW bersabda:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ
بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله
عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ
السُّجُودِ أَعَادَهَا
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w
mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak
perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk
diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya
semula”.
[Riwayat Muslim, no. Hadith 845]
Berdasarkan
hadith ini, dapat diambil pengajaran bahawa pergerakan kerana mendukung
bayi tidak membatalkan solat. Ini kerana, di dalam sebuah hadith yang
lain pula, Rasulullah SAW pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya
Hasan dan Husein telah memanjat di belakang baginda SAW dan bermain-main
di atas belakang baginda SAW. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan
oleh al-Imam Ahmad.
Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ
Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil
kalian”. [Riwayat al-Baihaqiy, no. Hadith 750] (Imam al-Baihaqiy
mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih
[Lihat: al-Sunan al-Kubra, 10/177])
Hadith ini tidaklah boleh dijadikan sandaran berdasarkan amalan atau
sunnah yang berlaku kepada Baginda SAW sendiri. Kedudukan hadith ini
daripada sudut usul fiqh tidak memungkinkan untuk berhujah dengan hadith
yang sahih seperti riwayat Muslim di atas.
Justeru, memberi galakan ke masjid lebih utama dan aula sebagai latihan dan tamrin untuk memupuk rasa cinta ke masjid.
Namun, sekiranya kanak-kanak itu dikhuatiri menganggu jemaah yang lain
maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid. Ini merupakan zahir jawapan
daripada al-Imam Malik apabila ditanyakan kepada beliau mengenai
kanak-kanak yang di bawa ke masjid, maka jawab al-Imam: “Sekiranya
kanak-kanak itu tidak mengganggu orang lain maka tidak mengapa, jika
sebaliknya maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid”.
(Lihat al-Mudawwanah, 1/195)
Kedatangan Kanak-Kanak Ke Masjid
Sejarah telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid
untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu. Bahkan kanak-kanak
perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan
masjid serta cintakan solat berjamaah dapat dipupuk lebih awal dalam
diri mereka.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Institusi masjid
juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih
terserlah berbanding persamaan kaum Muslimin di dalam masjid ? Orang tua
duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang yang
miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat, dan
ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka. Lihat Masjid
Parlimen Umat (Hlm. 30)
.
Hukum Membawa Kanak-Kanak Ke Dalam Masjid
Para fuqaha terbahagi kepada dua pendapat dalam isu ini. Berikut kami kongsikan pendapat dan hujah mereka:
Pertama: Kanak-Kanak Dilarang Untuk Dibawa Ke Masjid
Sebahagian fuqaha Malikiyyah, Hanabilah, dan Syafieyyah berpendapat
bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dilarang atau tidak dibenarkan
untuk masuk ke dalam masjid. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang
menyebut:
Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ
Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil
kalian”. [Riwayat al-Baihaqiy, no. Hadith 750] (Imam al-Baihaqiy
mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih
[Lihat: al-Sunan al-Kubra, 10/177])
Kedua: Kanak Kanak Dibolehkan Untuk Hadir Ke Masjid
Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam
al-Syaukani, dan lain lain. Mereka berhujahkan dengan sebuah hadis
daripada Abu Qatadah R.anhu beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ
صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ
وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى
عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ
أَعَادَهَا
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat
sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab
binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila
bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”.
[Riwayat Muslim, no. Hadith 845]
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah ketika mengulas hadis
ini: Hadis ini menjadi dalil bahawa hukum kanak-kanak masuk ke dalam
masjid adalah dibolehkan. Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/276).
Mereka juga berdalilkan sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنِّي لَأَدْخُلُ الصَّلَاةَ أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأُخَفِّفُ
Maksudnya: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak
memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka
aku ringkaskan (solat).
Riwayat al-Bukhari (666) & Muslim (723)
Kata al-Imam al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini: Pada
hadis ini menunjukkan keharusan untuk membawa masuk kanak-kanak ke dalam
masjid. Lihat Nailul Authar, al-Syaukani (5/48).
Hukum Meletakkan Kanak-Kanak Di antara Saf Lelaki Dewasa
Di dalam Sahih al-Bukhari[1] terdapat sebuah hadith yang menceritakan
tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan
mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan
kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.
Al-Imam al-Mawardi
Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai
permasalahan di atas, kata beliau: “dan telah berkata sebahagian ashab
kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di
dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak
tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi
al-Kabir, 2/340)
Adapun mengenai terputusnya saf, setakat
pencarian kami (wallahu a’lam), kami tidak mengetahui salah seorang dari
ulama’ yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di
dalam saf tersebut.
Pendapat ulama’ kontemporari seperti Syeikh
Ibn Baz[2] Rahimahullah dan juga Syeikh Ibn ‘Uthaymeen[3] Rahimahullah
mengatakan bahawa ianya tidak terputus. Ianya juga adalah pendapat
Syeikh Soleh al-Munajjid. Wallahu a’lam.
Tarjih
Setelah
meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua kumpulan, kami
lebih cenderung dengan hujah golongan yang kedua bahawa kanak-kanak
diBOLEHkan untuk hadir ke masjid berdasarkan dalil-dalil yang sahih lagi
sarih berkenaan hal tersebut.
Kedudukan Kanak-Kanak Di Dalam Saf Solat
Berikut merupakan beberapa keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.
Pertama: Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari
makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki
dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf
di belakang imam.
Kedua: Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua
orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki
tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan
tersebut berada di belakang keduanya.
Ketiga: Dalam keadaan
ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama
imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau
kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak
berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para
fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua
orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat
mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah (27/36-37).
Cadangan & Syor
Setelah kami bahaskannya maka kami dapati dan mencadangkan seperti berikut:
1.Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.
2.Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua
ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya.
Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi
dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.
3.Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak.
4.Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing
kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kank dapat
melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat
menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan
adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah kami meneliti dan menekuni perbahasan serta nas-nas yang telah
disebutkan di atas, kami berpendapat bahawa galakan membawa kanak-kanak
untuk hadir ke masjid adalah bertepatan dengan ruh syarak.
Syeikh
Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad
telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu:
•Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
•Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
•Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.
Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman para ulama dan salafussoleh
mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid. Bahkan di zaman
mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk
kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid al-Haram,
Masjid al-Nabawi, Masjid al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di
Mesir.
Menjadi saranan buat ibubapa, hendaklah mereka memainkan
peranan penting dengan memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka di
dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya
kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan
anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang
telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَيُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ
Maksudnya: Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah
mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ
juga tempat Allah S.W.T disucikan pada waktu pagi dan petang.
Surah al-Nur (36)
Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah menukilkan pendapat Ibn Abbas
R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini yang mana beliau berkata: Allah
S.W.T melarang perbuatan lagha (sesuatu yang sia-sia dan melalaikan) di
dalamnya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/62).
Kami
juga mengesyorkan agar pihak masjid mengawasi kanak-kanak dengan
tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak
memarahi, mengkasari, serta tidak memukul kanak-kanak. Sebaliknya
pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan
kasih sayang di antara ibubapa, pihak masjid, serta kanak-kanak itu
sendiri.
Pendekatan yang diambil oleh Masjid Wilayah juga perlu
diambil perhatian oleh pihak pengurusan masjid-masjid yang lain supaya
kesemua pihak baik ibubapa, kanak-kanak, dan juga jemaaah yang lain
dapat hadir ke masjid dengan perasaan yang tenang. Semoga dengan
pencerahan ini, kesemua pihak dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan
tenteram. Santunilah anak-anak kecil dan saling menghormatilah sesama
yang tua. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi
anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari
kalangan kami.
Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad (358)
Kami sangat mengharapkan agar pihak masjid benar-benar dapat memainkan
peranan yang penting sebagai institusi penyatuan ummah, tempat
penyebaran ilmu, serta medan zikrullah. Semoga semua pihak dapat
berusaha mengimarahkan masjid dan seterusnya menjadikan mereka sebagai
golongan yang layak mendapat naungan Allah S.W.T di akhirat kelak.
Ameen.
No comments:
Post a Comment