Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk Seperti Berikut:
Solat adalah ibadah asas dalam Islam dan dipertanggungjawabkan kepada
setiap mukallaf dalam apa jua keadaan termasuk ketika sakit. Cara
perlaksanaannya ketika sakit hendaklah dilakukan mengikut kemampuan
masing-masing.
Hadis Rasulullah s.a.w:
صل قا ئما فإن لم تستطع فقاعدا فإن لم تستطع فعلى جنب
Maksudnya: Solatlah secara berdiri, jika kamu tidak mampu lakukanlah
secara duduk, dan jika kamu tidak mampu juga, maka lakukan secara
mengiring.
H.R al-Bukhari : 1066.
Berdiri dalam solat fardhu merupakan rukun solat. Walau bagaimanapun,
bagi pesakit yang tidak boleh berdiri dibolehkan solat dalam keadaan
duduk. Duduk bersila adalah lebih utama. Walau bagaimanapun boleh sahaja
solat duduk dalam bentuk-bentuk yang lain. Sebagaimana hadis yang
diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, dia berkata:
رايت النبي صلى الله عليه وسلم يصلي متربعا
Maksudnya: Saya pernah melihat Nabi s.a.w solat dengan duduk bersila.
(Hadis riwayat imam al-Nasa’i dalam Sunannya, kitab Qiyam al-Lail wa Thathauwu’ al-Nahaar, bab كيف صلاة القاعد no:1661).
Kebelakangan ini muncul persoalan berkenaan solat secara duduk di atas
kerusi bagi mereka yang uzur. Hal ini amat perlu ditangani dengan baik
untuk memelihara kesempurnaan ibadah yang menjadi tiang agama.
A. Kedudukan kerusi adalah seperti berikut:
i.Kedudukan bagi ma’mum yang menggunakan kerusi hendaklah di bahagian paling kiri atau kanan saf solat.
ii.Jika keuzurannya adalah untuk duduk di atas lantai, atau ruku’ atau
sujud namun masih mampu berdiri, maka hendaklah berdiri selari dengan
orang bersebelahannya dalam saf solat.
iii.Jika keuzurannya
adalah untuk berdiri dan terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam
keadaan duduk, maka kaki kerusi belakang hendaklah sama dengan kaki
orang yang berdiri.
iv.Kelurusan saf bagi orang yang terpaksa
menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk dikira ketika jemaah
lain dalam keadaan duduk.
B. Beberapa perkara
perlu diberi perhatian oleh orang yang mengerjakan solat dalam keadaan
menggunakan rukhsah seperti berikut:
i.Hendaklah
bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam
adalah sebahagian daripada rukun solat. HaI ini adalah bagi kes
ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri lama. Manakala bagi kes
ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam
keadaan duduk.
ii.Hendaklah terus berdiri ketika membaca
al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan
duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.
iii.Hendaklah berdiri dengan bertumpukan (i’timad) kedua-dua belah kaki
jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu, dan tidak
berdiri sambil bersandar kepada sesuatu dengan merehatkan kedua-dua kaki
atau salah satu daripadanya.
iv.Tidak menggerakkan kerusi ke hadapan atau ke belakang ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.
v.Tidak menyandarkan belakang badan ke kerusi tanpa sebarang hajat atau
keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat, dan keizinan
duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.
vi.Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan
tunduk untuk sujud. Kedudukan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih
rendah daripada isyarat tunduk untuk ruku’.
vii.Tidak sujud di
atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh
sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai
tempat sujud.
viii.Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau
sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa
untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan duduk dan melakukan isyarat
tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.
ix.Hendaklah
meletakkan tangan di atas kedua-dua lututnya ketika tunduk tanda ruku’
dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud
supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh,
kedua-dua belah tangan boleh dilepaskan sahaja di kiri atau kanan peha
ketika tunduk tanda sujud, atau diletakkan di atas kedua-dua belah paha
kanan dan kiri, atau diletakkan pada kerusi jika ada.
x.Tidak
digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna
tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, tiada
halangan menjadi imam sekiranya semua makmum daripada kalangan mereka
yang uzur atau solat dalam keadaan duduk. Begitu juga sekiranya imam
berkenaan merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan
boleh sembuh. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.
xi.Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat
dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh
sekiranya sedang solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau
uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya
berdiri dan begitulah sebaliknya.
No comments:
Post a Comment